PETALING JAYA: YTL Corporation Bhd (YTL Corp) sedang membida lebih banyak projek infrastruktur untuk tempoh 12 bulan akan datang termasuk kerja-kerja sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Projek lain yang turut dibida adalah Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Johor, sambungan laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Jalan Kastam ke Westports dan Northport serta infrastruktur air di Johor.
Penganalisis CGS International, Chong Tjen-San berkata, buku pesanan YTL setakat 25 Jun adalah sebanyak RM3 bilion dan hampir keseluruhannya terdiri daripada projek dalaman syarikat itu.
Beliau berpendapat, projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) mungkin dihidupkan semula yang juga dilihat sebagai perkembangan positif untuk YTL Corp.
“Untuk rekod, sebelum tempoh sah tender projek itu tamat secara rasmi pada Mac 2024, YTL Corp merupakan pembida terendah bagi satu pakej utama.
“Dari sudut yang lebih negatif, kami merasakan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mungkin akan mengalami kelewatan lagi dan nampaknya bukan keutamaan kerajaan semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
YTL Corp mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.88 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 daripada RM2.14 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM30.82 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM30.49 bilion, kebanyakannya dikaitkan dengan perniagaan utiliti kumpulan itu.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat sedikit pada RM547.17 juta berbanding RM534.96 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM7.67 bilion berbanding RM8.23 bilion.
CGS International menurunkan saranan terhadap saham YTL Corp kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.76. – UTUSAN










