Untung teras SunCon dijangka hingga RM85j pada suku kedua

Untung teras SunCon dijangka hingga RM85j pada suku kedua

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham SunCon dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM6.55 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment Bank Bhd. mengunjurkan keuntungan teras Sunway Construction Group Bhd (SunCon) bagi suku kedua 2025 antara RM70 juta hingga RM85 juta, bersamaan pertumbuhan tahun ke tahun 88 peratus hingga 129 peratus.

Unjuran tersebut didorong oleh kemajuan projek sedia ada dan projek pusat data (DC).

Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, pemerhatian di Ipoh dan Cyberjaya menunjukkan bahawa projek Sunway City Ipoh Mall (SCIM) dan Permohonan Perkhidmatan Projek (PSR) bagi pusat data syarikat multinasional (MNC) telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan pada Jun dan Julai.

“Setakat akhir Mac 2025, SCIM yang dijadualkan siap pada suku pertama 2027 hanya siap 11 peratus, tetapi semasa lawatan pada bulan lalu, kami menganggarkan tahap kemajuan mungkin telah mencapai sekitar 20 hingga 25 peratus

“Sementara itu, pemerhatian kami terhadap projek DC oleh SunCon iaitu PSR MNC di Cyberjaya juga merekodkan kemajuan yang baik dengan tahap perkembangan mungkin mencecah 30 hingga 35 peratus pada akhir Jun mengikut pandangan kami, berbanding 19 peratus setakat akhir Mac,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, prospek SunCon terus disokong oleh syarikat induknya, Sunway Bhd. yang akan membangunkan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) iaitu  Seremban Sentral dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.2 bilion.

Jelasnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan SunCon menjadi antara peneraju utama projek ini memandangkan penglibatannya dalam projek TOD Sistem Transit Rapid (RTS Link) di Bukit Chagar, Johor Bahru.

“Dengan andaian konservatif bahawa kos pembinaan ialah 40 peratus daripada GDV, nilai potensi pembinaan boleh mencecah sekitar RM880 juta. 

Sementara itu, Adam berkata, SunCons akan turut mendapat manfaat daripada bahagian penjagaan kesihatan Sunway yang menawarkan aliran kerja stabil.

Menurutnya, Putrajaya Holdings dan Sunway Healthcare Holdings telah menandatangani perjanjian induk untuk sama-sama membangunkan sebuah pusat perubatan tertiari swasta di Presint 7, Putrajaya.

Katanya, komponen pertama untuk pusat perubatan ini dijangka menempatkan sebuah hospital tertiari yang dilengkapi oleh lebih 300 buah katil.

“Dengan mengandaikan kapasiti minimum sebanyak 300 katil sebagai asas, kami ramalkan nilai pembinaan mungkin mencecah antara RM400 juta hingga RM600 juta.

“Hospital-hospital lain yang sedang dirancang termasuklah hospital Iskandar Puteri di Johor, Paya Terubong di Pulau Pinang dan Kota Bharu di Kelantan,” jelasnya. 

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham SunCon dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM6.55 sesaham, potensi harga saham meningkat 22 peratus dan kadar hasil dividen tiga peratus untuk tahun kewangan 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN