PETALING JAYA: Rapid KL memperkenalkan Rentak Rapid, siri senarai lagu eksklusif di aplikasi Spotify sebagai inisiatif baharu bagi memperkayakan pengalaman perjalanan pengguna pengangkutan awam.
Inisiatif itu dibangunkan oleh Prasarana Integrated Development (PRIDE) Sdn. Bhd., anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad yang memberi tumpuan kepada gaya hidup serta perkhidmatan nilai tambah untuk pelanggan Rapid KL.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, Syed Redza Algadrie berkata, muzik kini menjadi sebahagian daripada rutin dan gaya hidup masyarakat termasuk ketika menaiki tren atau bas.
“Kami menyedari bahawa muzik merupakan sebahagian daripada rutin dan gaya hidup para penumpang ketika menaiki tren atau bas Rapid KL.
“Berdasarkan inspirasi itu, Rentak Rapid diperkenalkan bukan sekadar hiburan tambahan, tetapi sebagai jambatan yang menghubungkan pengangkutan awam dengan dunia hiburan digital untuk dinikmati semua di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam kenyataan.
Edisi pertama Rentak Rapid bersempena sambutan bulan kemerdekaan menampilkan lagu tempatan bertemakan patriotisme dan kebersamaan.
Sehubungan itu, senarai lagu tersebut akan dikemas kini secara berkala mengikut musim, perayaan dan cita rasa pendengar.
Rentak Rapid boleh diakses menerusi aplikasi MyRapid PULSE dengan hanya menekan ikon Spotify. Aplikasi itu turut menawarkan ganjaran dan promosi eksklusif kepada pengguna setia Rapid KL. – UTUSAN