PETALING JAYA: Pekat Group Berhad (Pekat) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM12.53 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, melonjak 169.1 peratus berbanding RM4.66 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 1.71 sen berbanding 0.72 sen tahun lalu, manakala nilai aset bersih sesaham turut bertambah kepada 0.28 sen setakat 30 Jun tahun ini berbanding 0.25 sen pada 31 Disember 2024.
Dari segi hasil, syarikat merekodkan lonjakan 124.5 peratus kepada RM126.99 juta pada suku berkenaan berbanding RM56.57 juta suku sama tahun sebelumnya.
Bahagian fotovolta suria (PV suria) muncul sebagai penyumbang utama dengan hasil RM62.60 juta, didorong permintaan kukuh daripada pelanggan kediaman dan projek besar kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah Program Tenaga Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
Bahagian peralatan agihan kuasa (PDE) pula menyumbang RM34.83 juta, manakala perlindungan bumi dan kilat (ELP) serta perdagangan masing-masing merekodkan RM14.87 juta dan RM14.69 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Pekat, Tai Yee Chee berkata, pencapaian itu mencerminkan manfaat daripada kepelbagaian portfolio syarikat serta projek solar berskala besar di bawah CGPP.
“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, hasil meningkat 142.8 peratus kepada RM277.30 juta berbanding RM114.20 juta pada tahun lalu.
“Keuntungan bersih melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM26.26 juta dengan EPS 3.58 sen berbanding 1.31 sen sebelum ini.
“Seiring prestasi kukuh itu, syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak satu sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 yang akan dibayar pada 25 September ini.
“Seiring usaha Malaysia menuju peralihan tenaga, Pekat berada pada kedudukan strategik untuk menyumbang secara bermakna kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan memberikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai prospek, beliau berkata, syarikat dijangka meraih manfaat daripada komitmen negara mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.
Katanya, rangka dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) dan CGPP akan terus menyokong pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui serta prospek Pekat.
“Kini, syarikat sedang membangunkan dua loji janakuasa suria berkapasiti 29.99 MWac di bawah CGPP sebagai pelaburan dalaman yang dijangka menjana pendapatan berulang menjelang akhir 2025, dan sebagai projek EPCC yang bakal menyumbang positif kepada keuntungan tahun ini.
“Bahagian ELP pula dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan asing dalam industri pusat data di Malaysia, manakala integrasi PDE akan memperluas pasaran serta mengukuhkan potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat,” tambahnya.
Lembaga pengarah Pekat kekal optimis terhadap prospek tahun kewangan 2025 dan tahun-tahun berikutnya berikutan asas kewangan kukuh dengan baki tunai serta bank berjumlah RM83.11 juta, selain jumlah aset yang meningkat kepada RM493.14 juta berbanding RM433.20 juta pada akhir tahun lalu. – UTUSAN