PBT Prolintas Infra BT naik 33.5% pada suku kedua

PBT Prolintas Infra BT naik 33.5% pada suku kedua

GUTHRIE Corridor Expressway.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) mencatatkan lonjakan 33.5 peratus keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM15.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM11.9 juta pada suku kedua 2024, 

Pertumbuhan disokong terutamanya oleh hasil tol lebih tinggi serta pendapatan pelaburan daripada penempatan patuh syariah.

Menurut syarikat itu, hasil operasi lebuh raya meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM80.8 juta berbanding RM77.6 juta pada suku sama tahun lalu. 

Jelasnya, pertumbuhan itu dipacu oleh kenaikan 4.1 peratus dalam jumlah keseluruhan pungutan tol merentasi semua lebuh raya di bawah portfolio amanah. 

“Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) mencatatkan peningkatan 1.0 peratus, Guthrie Corridor Expressway (GCE) naik 4.3 peratus, Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) bertambah 5.2 peratus dan Kajang Dispersal Link Expressway (SILK) meningkat 4.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, amanah merekodkan jumlah boleh agih sebanyak RM37.6 juta. 

“Trustee-Manager, Prolintas Managers Sdn. Bhd., mencadangkan agihan separuh pertama berjumlah RM35 juta, bersamaan 93 peratus daripada jumlah boleh agih dan melebihi dasar agihan minimum amanah sebanyak 90 peratus. 

“Ini bersamaan dengan agihan 3.18 sen seunit yang akan dibayar pada 22 September 2025 kepada pemegang unit berdaftar dalam rekod pendeposit setakat 10 September 2025,” katanya dalam kenyataan. 

Sehingga 30 Jun 2025, amanah mengekalkan rizab tunai kukuh berjumlah RM492.5 juta, memberikan keupayaan menyokong agihan, mengekalkan operasi, memenuhi obligasi hutang dan membiayai peluang pertumbuhan pada masa depan.

“Sebagai amanah perniagaan Islam pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, Prolintas Infra BT mengurus empat lebuh raya utama iaitu AKLEH, GCE, LKSA dan SILK yang menjadi nadi penghubung penting di Lembah Klang. 

“Aset-aset ini berada di kawasan berpenduduk padat dan berintensiti trafik tinggi, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pendapatan berulang dan nilai jangka panjang kepada pemegang unit,” ujarnya. 

Memandang ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Idros Mosin berkata, amanah kekal optimis terhadap prospek lebuh raya kendaliannya. 

“Meskipun ketidaktentuan ekonomi global berterusan, amanah terus yakin terhadap asas jangka panjang asetnya. 

“Disokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil dan proses urbanisasi berterusan, lebuh raya tersebut akan terus berperanan sebagai penghubung penting di Lembah Klang. 

“Amanah juga komited memperkukuh pertumbuhan organik dengan meningkatkan pengalaman pengguna melalui kemudahan dinaik taraf serta perkhidmatan tambah nilai, mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN