KERJA-kerja membaik pulih bangunan yang mengalami kerosakan, terutama yang sudah uzur, dijalankan bagi menangani kegagalan dan kecacatan pada kemudahan serta peralatan bangunan.
Ia memerlukan perancangan rapi bagi memastikan nilai struktur, estetika dan potensi ekonomi bangunan dapat dimaksimumkan dalam jangka panjang.
Pembaikan segera dapat mengurangkan keperluan penyelenggaraan kerap pada masa depan, tetapi biasanya ia dilakukan berdasarkan aduan atau laporan pengguna dan pemilik.
Laporan ini merangkumi kerosakan komponen seperti pam tandas, lampu, pendingin udara dan struktur yang menjejaskan keselesaan penghuni.
Ringgit minggu ini berkongsi lima panduan untuk membaik pulih bangunan berdasarkan penelitian penulis dan rujukan laman sesawang.
Lakukan penilaian menyeluruh
Langkah pertama sebelum sebarang kerja baik pulih adalah menilai keadaan bangunan secara menyeluruh.
Tujuannya untuk mengenal pasti masalah struktur seperti keretakan, lantai atau siling yang mendap serta isu sistem asas seperti kebocoran bumbung, saliran tersumbat, paip rosak atau pendawaian elektrik yang tidak selamat.
Penilaian biasanya melibatkan jurutera atau arkitek bertauliah bagi memastikan tiada aspek penting terlepas pandang.
Tentukan jenis kerja baik pulih
Setelah penilaian selesai, pemilik perlu menentukan jenis kerja yang hendak dilakukan kerana ia menentukan keperluan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kerja-kerja kecil yang tidak memerlukan kelulusan PBT adalah yang melibatkan kerja mengecat dinding dan siling dalaman atau luaran, menukar jubin lantai atau pelapik lantai lain atau menggantikan pintu, tingkap atau kemasan dalaman tanpa mengubah struktur utama.
Kerja-kerja ini tidak memerlukan borang atau kelulusan rasmi, tetapi harus dilaksanakan secara selamat, mematuhi piawaian elektrik, air dan keselamatan am.
Bagaimanapun, jika melibatkan struktur atau perubahan besar buat laporan kepada PBT kawasan melalui Pusat Sehenti (OSC).
Langkah ini perlu dilaporkan bagi menjamin keselamatan penghuni dan orang awam, sekali gus bagi mengelakkan kerja-kerja haram dan mengelakkan denda atau notis henti kerja selepas aktiviti baik pulih dijalankan.
Sediakan borang dan dokumen
Pemilik perlu mengisi borang dan menyerahkan dokumen sokongan bergantung kepada jenis kerja.
Antara borang penting ialah permit kerja atau permit ubah suai, yang membolehkan kerja dimulakan secara sah.
Lawati OSC atau laman web rasmi PBT untuk mendapatkan panduan dan borang yang lengkap.
Dengan mematuhi prosedur PBT dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pemilik dapat memastikan keselamatan struktur, nilai estetika, kepatuhan undang-undang dan mengelakkan risiko undang-undang yang merugikan.
Pelaksanaan kerja baik pulih
Pastikan kontraktor yang dilantik adalah berdaftar dan mempunyai lesen sah bagi menjamin kerja baik pulih dijalankan mengikut piawaian keselamatan dan undang-undang.
Sepanjang pelaksanaan, kerja hendaklah mengikut pelan yang telah diluluskan, tanpa mengubah struktur bangunan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
Langkah keselamatan juga perlu diambil, termasuk memasang pagar tapak, meletakkan tanda amaran serta mengambil langkah perlindungan untuk mengelak sebarang gangguan atau kemalangan kepada jiran dan orang awam.
Selain itu, simpan semua rekod penting seperti dokumen, surat kelulusan dan invois kerja untuk rujukan masa hadapan, terutamanya sekiranya berlaku urusan jual beli atau penilaian hartanah.
Pemeriksaan dan penyeliaan selepas siap
Selepas kerja siap PBT boleh melakukan pemeriksaan tapak untuk memastikan kerja mematuhi pelan yang diluluskan.
Hal ini kerana sebarang kerja yang tidak mematuhi spesifikasi boleh diarahkan dibetulkan atau dirobohkan.
Pemilik juga disarankan melakukan penyelenggaraan berkala untuk memastikan struktur kekal selamat dan berfungsi dengan baik. – UTUSAN










