NexG catat PBT RM72.6 juta bagi suku pertama

NexG catat PBT RM72.6 juta bagi suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: NexG Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM72.6 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM36.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Untung selepas cukai kumpulan turut melonjak 139 peratus kepada RM64.5 juta, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.01 sen berbanding 0.97 sen sebelum ini. 

Hasil bagaimanapun sedikit rendah pada RM88.5 juta berbanding tahun lalu, berikutan faktor masa penghantaran kontrak berkaitan kad pengenalan dan pasport.

Segmen penyelesaian khusus dan pengenalan diri selamat kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM73.8 juta, manakala bahagian pembuatan menjana RM14.6 juta. 

Jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM627.1 juta daripada RM555.1 juta pada 31 Mac 2025, dengan kedudukan tunai dan setara tunai berjumlah RM61 juta.

Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Hanifah Noordin berkata, prestasi itu mencerminkan kekuatan asas perniagaan teras syarikat serta hala tuju pertumbuhan jangka panjang berasaskan teknologi.

“Dengan kedudukan kewangan kukuh serta sokongan kerajaan dan sektor swasta, kami yakin dapat terus memberi nilai mampan kepada pemegang kepentingan,” katanya dalam kenyataan.

NexG optimis memanfaatkan prospek ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang antara empat hingga 4.8 peratus tahun ini, dengan strategi berasaskan tiga tonggak iaitu Datasonic (penyelesaian ID selamat), MyNasional (identiti digital dan pemprofilan kredit) serta NexG CSA (pakatan strategik korporat) bagi memperkukuh kedudukan di pasaran domestik dan antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN