PETALING JAYA: Semua negeri di Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi positif pada 2024, disokong oleh perbelanjaan pelancongan domestik yang mencecah RM106.7 bilion serta nilai perdagangan yang melonjak kepada RM2.9 trilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan yang stabil dalam pelbagai sektor utama serta permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan risiko ketidaktentuan global sepanjang tahun 2024.
Menurutnya, ekonomi negara berkembang 5.1 peratus tahun lalu dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM1.65 trilion.
“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pertumbuhan 15.3 peratus, dipacu industri berasaskan pelancongan. Sektor pembuatan turut meningkat 4.2 peratus disokong permintaan produk elektrik dan elektronik (E&E) global.
“Lima negeri merekodkan pertumbuhan ekonomi melebihi paras nasional iaitu Johor (6.4 peratus), Selangor (6.3 peratus), Kuala Lumpur (6.2 peratus), Pahang (5.7 peratus) dan Labuan (5.4 peratus).
“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara dengan sumbangan gabungan 68.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, nilai eksport Malaysia meningkat 5.8 peratus kepada RM1.5 trilion pada 2024, dipacu barangan E&E yang pulih 4.5 peratus selepas mencatat penyusutan pada 2023.
“Negeri pengeksport utama produk E&E seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor turut merekodkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 5.0 peratus, 11.9 peratus dan 10.1 peratus.
“Import pula meningkat 13.1 peratus kepada RM1.4 trilion, selaras dengan permintaan domestik yang kukuh, menjadikan lebihan dagangan berjumlah RM139.1 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaburan yang diluluskan pada 2024 juga mencatat rekod tertinggi sebanyak RM384.4 bilion, meningkat 16.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Sektor perkhidmatan menerima pelaburan tertinggi RM255.8 bilion diikuti sektor pembuatan (RM120.5 bilion) dan sektor utama (RM8.1 bilion).
“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang menerima pelaburan tertinggi, manakala lebih 50 peratus pelaburan ke Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah tertumpu kepada sektor pembuatan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia turut mencatat 25 juta pelancong antarabangsa dan 260.1 juta pelawat domestik pada 2024, peningkatan masing-masing 24.2 peratus dan 21.7 peratus.
“Selangor, Kuala Lumpur dan Perak menjadi destinasi paling ramai dikunjungi pelawat domestik, manakala Perak muncul sebagai negeri paling popular dalam kalangan pelancong domestik dengan 10.2 juta ketibaan.
“Pertumbuhan kukuh sektor pelancongan meningkatkan perbelanjaan pelawat domestik kepada RM106.7 bilion, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor Perkhidmatan di Selangor, Johor dan W.P. Kuala Lumpur,” tambahnya.
Dalam pada itu, pasaran buruh turut mencatat perkembangan positif dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat ke paras tertinggi 70.6 peratus.
“Putrajaya mencatat KPTB tertinggi 78.7 peratus, manakala kadar pengangguran negara menurun kepada 3.2 peratus berbanding 3.4 peratus pada 2023.
“Sepuluh negeri merekodkan kadar pengangguran lebih rendah berbanding paras nasional, antaranya Putrajaya (1.1 peratus), Melaka (1.6 peratus), Pulau Pinang dan Pahang (2.0 peratus),” ujarnya.
Mengulas mengenai inflasi, beliau berkata, kadar inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.8 peratus pada 2024 berbanding 2.5 peratus pada 2023. – UTUSAN