Jumlah kelahiran hidup rekod penurunan sebanyak 7.1 peratus

Jumlah kelahiran hidup rekod penurunan sebanyak 7.1 peratus pada suku kedua 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 7.1 peratus kepada 93,435 pada suku kedua 2025 kelahiran berbanding 100,558 pada suku tahun kedua 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan hari ini. 

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 48,444 kelahiran berbanding 44,991 kelahiran. 

Katanya, nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 108 lelaki bagi setiap 100 perempuan. 

“Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 17,605 kelahiran (18.8 peratus) manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 274 kelahiran (0.3 peratus). 

“Ibu berumur 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 48,503 kelahiran (51.9 peratus) diikuti oleh ibu berumur 20 hingga 29 tahun (40.8 peratus), 40 tahun dan lebih (5.6 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus)

“Secara purata, seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,027 bayi sehari pada suku tahun kedua 2025,” katanya dalam kenyataan. 

Dari segi etnik, Melayu menyumbang 68.7 peratus (64,187 kelahiran) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun kedua 2025 (ST2 2024: 66,140 kelahiran, 65.8 peratus). 

Sementara itu, etnik Cina dan India masing-masing turut menurun kepada 8.1 peratus dan 3.8 peratus berbanding 10.4 peratus dan 4.4 peratus pada suku tahun kedua 2024. 

“Kelahiran hidup bagi bumiputera lain meningkat kepada 12.9 peratus berbanding 12.6 peratus pada tempoh yang sama. Bumiputera lain terdiri daripada bumiputera Sabah, bumiputera Sarawak dan bumiputera Semenanjung Malaysia lain. 

“Bumiputera Sabah menyumbang 58.8 peratus daripada bumiputera lain yang terdiri daripada Kadazan atau Dusun (34.7 peratus), Bajau (30.7 peratus), Murut (6.4 peratus) dan bumiputera Sabah lain (28.2 peratus),” katanya. 

Mohd.Uzir menjelaskan, bumiputera Sarawak merekodkan 34.1 peratus yang terdiri daripada Iban (60.0 peratus), Bidayuh (15.7 peratus), Melanau (11.1 peratus) dan bumiputera Sarawak lain (13.2 peratus). 

Mengulas lanjut, sebanyak 48,408 kematian telah direkodkan pada suku tahun kedua 2025, menurun 3.0 peratus berbanding suku tahun kedua 2024 (49,906 kematian).

Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,607 manakala 20,801 kematian bagi perempuan. 

Nisbah jantina bagi kematian ialah 133 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Selain itu, Mohd. Uzir memaklumkan, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,820 kematian (16.2 peratus) manakala Labuan merekodkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1 peratus). 

“Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 34,165 kematian (70.6 peratus) diikuti 41 hingga 59 tahun (20.1 peratus), 15 hingga 40 tahun (7.3 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (2.0 peratus). 

“Terdapat 5.2 peratus kematian bagi penduduk berumur 90 tahun dan lebih. 

“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 532 kematian sehari pada suku tahun kedua 2025,” katanya. 

Beliau menjelaskan, Melayu menyumbang 53.1 peratus (25,722 kematian) daripada jumlah kematian (su 2024: 26,123 kematian, 52.3 peratus). 

“Kematian bagi bumiputera lain menurun kepada 10.5 peratus berbanding 10.7 peratus pada suku tahun kedua 2024. 

“Etnik Cina dan India masing-masing menurun kepada 25.6 peratus dan 8.1 peratus berbanding 25.9 peratus dan 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2024,” katanya. 

Bagi bumiputera Sabah menyumbang 51.9 peratus daripada bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (38.7 peratus), Bajau (26.2 peratus), Murut (6.5 peratus) dan bumiputera Sabah lain (28.6 peratus). 

Sementara itu, bumiputera Sarawak merekodkan 41.7 peratus yang terdiri daripada Iban (62.1 peratus), Bidayuh (15.2 peratus), Melanau (13.2 peratus) dan bumiputera Sarawak lain (9.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN