Ekuinas berjaya perkasa 19 PKS di bawah program ILTIZAM Catalyst 2024

Ekuinas berjaya perkasa 19 PKS di bawah program ILTIZAM Catalyst 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)  berjaya memperkasakan 19 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera memperkukuh prestasi dan melonjakkan perniagaan melalui ILTIZAM Catalyst 2024, sebuah program teras di bawah tonggak keusahawanan ILTIZAM.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, syarikat- syarikat itu telah melalui transformasi berstruktur selama sembilan bulan dengan fokus kepada pengukuhan asas perniagaan melalui empat teras utama. 

“Empat teras itu ialah pengurusan kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, adaptasi teknologi, dan pembangunan kepimpinan.

“ILTIZAM Catalyst membina ketajaman strategi, mengasah bakat, memperkukuh operasi dan tadbir urus, serta mendorong inovasi dalam daya fikir. 

“Ia bukan sekadar program bimbingan tetapi ia merupakan sebuah ekosistem menyeluruh yang menyediakan ilmu, jaringan, keyakinan dan keberanian untuk mencipta peluang baharu,” katanya dalam kenyataan. 

Ekuinas telah menyediakan sokongan berbentuk bantuan teknikal bernilai lebih daripada RM70,000 bagi setiap syarikat yang terlibat dalam program pemerkasaan ILTIZAM Catalyst 2024 tersebut. 

Shahril Ridza berkata, pencapaian itu sejajar dengan agenda nasional dan inisiatif GEAR-uP di bawah teras “Raising the Floor”.

“Teras itu tertumpu kepada peningkatkan kemahiran, pembinaan kecekapan dan latihan semula bakat usahawan supaya mampu meningkatkan kapasiti, meraih peluang-peluang pembiayaan atau modal yang ada di pasaran dan memacu pertumbuhan yang mampan.

“Ekuinas akan kekal fokus dalam menyampaikan impak berskala nasional secara lebih strategik dan kekal komited dalam usaha membangunkan generasi usahawan Bumiputera yang berimpak tinggi,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, asas perniagaan yang kukuh adalah prasyarat kepada pertumbuhan strategik dan mampan. 

Katanya, tanpa asas itu, modal yang besar sekalipun tidak menjamin kelangsungan atau keupayaan syarikat untuk bertahan dan bersaing.

“Sejak diperkenalkan pada 2022, ILTIZAM Catalyst telah membimbing 57 syarikat dari pelbagai sektor termasuk pendidikan, makanan dan minuman (F&B), pembuatan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan IT dan perkhidmatan lain. 

“Impak yang kita bina bukan sahaja dirasai oleh syarikat-syarikat ini, tetapi turut memberi kesan positif kepada komuniti dan ekosistem usahawan tempatan, industri dan ekonomi,” ujarnya. 

Jelasnya, berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan pada 2023, ILTIZAM Catalyst 2024 mencatat impak yang memberangsangkan.

“Ini di mana 95 peratus syarikat lebih jelas tentang hala tuju perniagaan, 89 peratus meningkatkan kemampuan keusahawanan dan kepimpinan, 79 peratus mencatatkan peningkatan kehadiran jenama dan pasaran serta 68 peratus mencatatkan peningkatan keuntungan produk,” katanya. 

Pada 2024, Ekuinas telah menyalurkan sejumlah RM15.3 juta di bawah ILTIZAM yang disalurkan kepada inisiatif keusahawanan, pendidikan dan pembangunan komuniti serta memberi manfaat kepada lebih daripada 17,000 individu, keluarga dan perniagaan di seluruh negara. 

Daripada jumlah peruntukan itu, RM5 juta telah disalurkan kepada program keusahawanan seperti ILTIZAM Catalyst dan ILTIZAM Advance. 

Dalam pada itu, sejak penubuhannya, ILTIZAM telah melabur lebih RM115 juta bagi menyokong kemajuan sosio-ekonomi di seluruh Malaysia.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN