Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus suku kedua 

Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus suku kedua 

DATUK Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (kanan) bersama Ketua Perangkawan Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin ketika menunjukkan laporan Buletin Suku Tahunan Suku Kedua 2025 pada sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025 dipacu oleh prestasi kukuh dari segi penawaran, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Prestasi itu menyamai pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ketahanan ekonomi Malaysia dapat dilihat melalui kekuatan permintaan domestik yang berterusan, didorong oleh perbelanjaan pengguna dan pengeluaran perindustrian, walaupun permintaan luar lebih lemah.

Beliau berkata, dari segi pengguna, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan musim perayaan dan aktiviti perjalanan yang lebih tinggi, serta pelaburan yang direalisasikan dalam projek berkaitan pembinaan terutamanya pusat data.

“Gabungan pasaran buruh yang kukuh, kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta bantuan kewangan bersasar telah meningkatkan kuasa membeli isi rumah. 

Secara keseluruhan, perbelanjaan domestik kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, lantas menjadi asas yang kukuh kepada ekonomi.

“Namun, keadaan luaran terus memberikan cabaran, dipengaruhi oleh perkembangan tarif yang berterusan serta ketidakpastian politik global yang berpanjangan,” katanya ketika sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia Suku Kedua 2025 bersama Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Menurut beliau, dari segi permintaan, pelaburan swasta melonjak 11.8 peratus, pelaburan awam meningkat 13.6 peratus, manakala perbelanjaan swasta naik 5.0 peratus.

“Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh sektor perkhidmatan (5.1 peratus), pembinaan (12.1 peratus) dan pembuatan (3.7 peratus), manakala sektor perlombongan menguncup akibat aktiviti penyelenggaraan berjadual.

“Eksport bersih pula merosot 72.6 peratus berikutan penurunan eksport berkaitan perlombongan dan peningkatan import modal, walaupun sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal menyumbang positif.

“Akaun semasa mencatat lebihan RM0.3 bilion atau 0.1 peratus daripada KDNK, disumbang oleh lebihan akaun barangan walaupun eksport perlombongan berkurang,” katanya semasa sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua tahun 2025 di sini, hari ini. 

Tambah beliau, pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM1.6 bilion direkodkan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, khususnya kewangan dan teknologi maklumat, dengan aliran masuk utama dari Singapura, Jepun dan United Kingdom (UK). 

“Secara suku tahunan terlaras mengikut musim, KDNK meningkat 2.1 peratus pada suku kedua, memulihkan penguncupan pada suku sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, di peringkat global, pertumbuhan ekonomi pada suku kedua kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan. 

Ujarnya, ia dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, pasaran buruh yang kukuh dan aktiviti perdagangan yang stabil susulan gencatan tarif Amerika Syarikat (AS)-China.

“Namun, unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menunjukkan pertumbuhan global dijangka sederhana kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 3.3 peratus pada 2024, manakala perdagangan global dijangka berkurangan kepada 2.6 peratus.

“Pemacu kitaran seperti pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang longgar dan rangsangan fiskal di ekonomi utama, bersama faktor struktur seperti permintaan berterusan terhadap E&E serta peralihan tenaga hijau, dijangka dapat meredakan kesan tarif yang lebih tinggi pada separuh kedua 2025,” katanya. 

Pertumbuhan pada suku kedua itu bagaimanapun di bawah anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu 4.5 peratus.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN