PETALING JAYA: Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan penekanan khusus terhadap pembangunan teknologi maklumat (IT) terutama kecerdasan buatan (AI).
Perkara ini akan dilakukan menerusi peruntukan lebih besar bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan termasuk pelaksanaan sandbox.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia berdaya saing dalam jangka panjang, mampu membangunkan teknologi sendiri dan tidak hanya bergantung kepada pemindahan teknologi daripada pelabur asing.
“Peruntukan R&D negara sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini masih rendah sekitar satu peratus, jauh ketinggalan berbanding negara maju seperti Korea Selatan yang memperuntukkan lima peratus daripada KDNK,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, fokus turut diberikan kepada penyelarasan subsidi pukal secara signifikan, khususnya bagi barangan asas seperti petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan makanan keperluan.
Katanya, bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka diperluas sejajar dengan hasrat kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Selaras dengan dasar monetari, penekanan turut akan diberikan kepada pengembangan ekonomi domestik sebagai teras pertumbuhan KDNK.
“Ini memandangkan ekonomi global dijangka terus berdepan ketidaktentuan susulan dasar pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Donald Trump.
“Pergolakan geopolitik yang semakin meruncing turut meningkatkan keperluan kerajaan memfokuskan kepada pengukuhan ekonomi dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Belanjawan 2026 dijangka mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi dan kawalan defisit fiskal, dengan tumpuan kepada pelaksanaan subsidi bersasar, pembaharuan cukai, insentif pelaburan serta sokongan kepada sektor berimpak tinggi.
Jelasnya, belanjawan yang bakal dibentangkan Oktober ini diharapkan menjadi dokumen strategik yang berhemat tetapi pro pertumbuhan, memberi penekanan kepada inovasi, peningkatan produktiviti dan kemampanan, sejajar usaha menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Antara aspek yang wajar diberi keutamaan termasuk pengukuhan daya saing industri, pelaburan modal insan, pembangunan infrastruktur hijau dan digital, selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan pembangunan negara.
“Langkah sedia ada seperti pelaksanaan subsidi bersasar, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), program perlindungan sosial terarah serta pelaburan dalam infrastruktur strategik perlu diteruskan dan ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif kritikal untuk rakyat pula perlu merangkumi pengawalan kos sara hidup, peningkatan pendapatan, penyediaan perumahan mampu milik dan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti. – UTUSAN










