PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk membekukan sebarang kenaikan caj, levi dan kos pematuhan baharu sekurang-kurangnya selama 24 bulan selepas pembentangan Belanjawan 2026, bagi memberi ruang nafas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, PKS ketika ini sudah terbeban dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), e-invois, kenaikan tarif elektrik, gaji minimum dan pelbagai syarat pematuhan lain.
“Sekiranya ada kenaikan baharu, ia akan melemahkan keyakinan pelabur, mengurangkan pelaburan serta terus menekan margin keuntungan syarikat.
“Kerajaan juga wajar menilai semula caj pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi tertentu yang naik mendadak tanpa sebab munasabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, dana sokongan eksport perlu disediakan dengan kadar pembiayaan rendah tidak melebihi dua peratus serta geran khas bagi membantu PKS mempelbagaikan pasaran berikutan cabaran tarif balas dari negara maju seperti Amerika Syarikat.
Dalam masa sama, persatuan itu menegaskan peralihan ke arah ekonomi hijau dan pelaporan karbon perlu dilaksanakan secara berperingkat tanpa membebankan PKS mikro dan kecil.
“Mereka perlu diberikan panduan, insentif serta pengecualian, bukan dikenakan kos tambahan. Kami mencadangkan rebat cukai, pinjaman mudah untuk teknologi hijau dan pengecualian sementara kepada PKS kecil daripada mandat ESG,” katanya.
Mengulas isu tenaga kerja, Samenta mahu kerajaan memperluas latihan perantisan serta program TVET berasaskan keperluan industri, selain memberikan insentif pengambilan pekerja baharu termasuk graduan, wanita yang kembali bekerja serta pesara sebanyak RM500 sebulan sehingga enam bulan.
Dalam aspek produktiviti, persatuan itu mencadangkan geran serta potongan cukai khusus bagi pelaburan dalam automasi, kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi, terutama bagi sektor perkhidmatan yang masih ketinggalan.
Pada masa sama, Samenta mengingatkan kesan automasi dan AI terhadap peluang pekerjaan dan menekankan keperluan segera bagi latihan semula pekerja.
“Kami mencadangkan supaya dana Kumpulan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) yang tidak digunakan dialihkan kepada latihan semula dan penyerapan pekerja, potongan cukai 200 peratus untuk kos latihan semula serta penubuhan hab latihan bersama industri,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2026 pada Oktober ini. -UTUSAN