PETALING JAYA: Restoran Banglo 289 terus mengukuhkan jenamanya apabila membuka cawangan ketiganya di IOI City Mall, Putrajaya, sekali gus memperluaskan lagi pilihan masakan kampung tulen kepada pelanggan.
Majlis perasmian cawangan baharu pada 30 Ogos ini akan turut diserikan dengan jamuan tengah hari percuma bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sekali gus memberi peluang orang ramai menikmati sajian istimewa dalam suasana penuh kemerdekaan.
Antara menu yang bakal memikat selera pengunjung termasuk daging salai masak lemak, ikan patin masak tempoyak, siput sedut masak lemak serta pelbagai ulam-ulaman kampung yang menjadi identiti utama Banglo 289.
Menurut kenyataan pihak pengurusan, pembukaan cawangan baharu ini bukan sahaja bertujuan mendekatkan lagi pelanggan dengan juadah masakan kampung, malah meraikan semangat Merdeka melalui tagline unik, “masakan kampung, chara orang dulu-dulu”.
“Dengan tambahan cawangan di IOI City Mall, Banglo 289 kini beroperasi di tiga lokasi iaitu Jalan Raja Chulan, Elmina Lakeside Mall dan Putrajaya.
“Pembukaan itu menjadi bukti sambutan hebat rakyat Malaysia terhadap sajian kampung yang dimasak segar setiap hari,” katanya.
Banglo 289 turut menjemput orang ramai untuk hadir ke majlis tersebut.
Bagi meraikan sokongan pelanggan, seramai 300 pelanggan terawal akan disajikan makanan percuma bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari sempena pembukaan restoran itu.-UTUSAN