KUALA LUMPUR: Sebanyak 400,000 rakyat Malaysia disasar menyertai AI Class ASEAN, program latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI) yang dilancarkan Yayasan ASEAN dengan sokongan Google.org.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program AI Ready ASEAN yang menyasarkan melengkapkan 5.5 juta peserta di seluruh Asia Tenggara melalui 70 modul setempat.
Platform pembelajaran dalam talian ini, yang dilengkapi chatbot berkuasa AI dan terjemahan masa nyata, telah diperkenalkan semasa Mesyuarat Dasar Serantau Kedua AI Ready ASEAN menekankan kepentingannya dalam mempromosikan penggunaan AI yang inklusif dan bertanggungjawab.
Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr. Piti Srisangnam berkata, pihaknya sedar cabaran infrastruktur dan capaian internet yang tidak stabil masih wujud di beberapa kawasan, justeru AI Class ASEAN direka untuk beroperasi dengan penggunaan jalur lebar yang sangat rendah.
“Kami juga menyediakan kandungan dan kurikulum dalam versi luar talian, jadi tidak perlu sambungan internet sepanjang masa. Tidak memerlukan 4G atau 5G, memadai hanya dengan bekalan elektrik.
“Selain itu, kami turut mengatur sesi pembelajaran di kemudahan pusat seperti dewan komuniti bagi memberi peluang kepada mereka untuk belajar menggunakan infrastruktur bersama yang ada di setiap komuniti. Projek ini telah dilaksanakan dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya semasa sidang media pelancaran platform itu di sini, semalam.
Tambah beliau, projek AI Ready ASEAN meliputi kesemua 10 negara ASEAN dan memberi penekanan bukan sahaja kepada kemahiran digital, malah kepada penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
“Kami bukan hanya menyasarkan golongan belia, tetapi juga guru, pendidik serta ibu bapa kerana mereka adalah kelompok terdekat dengan golongan muda.
“Projek ini juga berasaskan kajian dan semua modul disatukan di platform pembelajaran dalam talian AI Class ASEAN. Ini bermakna akses tidak lagi terhad kepada acara fizikal dan semua orang di 10 negara ASEAN boleh mula belajar pada bila-bila masa.
“Selepas projek ini mencapai sasaran pada 2027, platform ini akan kekal, sama seperti Digital Class ASEAN yang masih beroperasi sejak 2024. Peserta boleh melengkapkan modul, memperoleh sijil daripada Google.org dan Yayasan ASEAN untuk meningkatkan kemahiran mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Google.org Asia Pasifik, Marija Ralic berkata, pendekatan pihaknya adalah mendengar keperluan organisasi seperti Yayasan ASEAN dan memberikan sokongan yang paling relevan.
“Sebab itu kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan amal, tetapi juga sumber seperti teknologi dan akses kepada Gemini untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan yang kini ditawarkan secara percuma.
“Kami mahu mereka mempunyai akses kepada alat dan sumber pendidikan berkualiti supaya mereka lebih bersedia menghadapi masa depan. Matlamat kami adalah membuka peluang ini kepada semua orang,” katanya. – UTUSAN










