ISU yuran ejen hartanah yang tinggi terus menjadi rungutan penyewa rumah, khususnya di kawasan bandar apabila mereka terpaksa membayar caj perkhidmatan yang didakwa melebihi kadar yang sepatutnya.
Situasi ini semakin menjadi perhatian selepas tular di media sosial bayaran yuran ejen sehingga RM2,000 untuk sewaan sebulan termasuk Cukai Perkhidmatan (SST) lapan peratus, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kewajaran caj berkenaan.
Golongan muda yang baru bekerja paling terkesan kerana selain perlu menyediakan deposit rumah, mereka juga dibebankan dengan yuran ejen yang kadangkala melebihi kemampuan.
Menurut peguam hartanah, Sinky Anak Siba, urusan ejen hartanah sebenarnya tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan yang jelas di bawah Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242) serta dikawal selia oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPPEH / BOVAEP).
Katanya, penyewa biasanya membayar yuran ejen kerana ejen mewakili tuan rumah dalam menguruskan rumah sewaan.
“Yuran maksimum bagi ejen untuk sewaan rumah selama setahun atau lebih adalah setara dengan satu bulan sewa.
“Mereka tidak dibenarkan mengenakan caj tersembunyi, yuran tambahan tanpa persetujuan jelas atau bertindak sebagai ejen tanpa pendaftaran rasmi
“Namun, ini tertakluk kepada persetujuan awal dan mesti dinyatakan jelas dalam perjanjian.
“Jika ejen mewakili kedua-dua pihak, perkara itu juga perlu dinyatakan secara bertulis supaya tiada salah faham,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sinky berkata, penyewa mempunyai hak untuk mempersoalkan caj yang tidak munasabah dan tidak telus.
“Penyewa berhak meminta resit rasmi, perincian caj penuh dan jika yuran melebihi kadar yang dibenarkan, mereka boleh membuat aduan kepada LPPEH atau BOVAEP.
“Tiada ejen berdaftar boleh memaksa bayaran tanpa kontrak atau mengenakan yuran melampau,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Sinky berkata, penyewa boleh menyemak status ejen melalui laman web LPPEH menggunakan nombor pendaftaran Perunding Hartanah (REN) dan memastikan ejen mempunyai tag REN rasmi dengan kod RENXXXX.
“Jangan bayar kepada ejen yang tidak menunjukkan dokumen rasmi. Semak latar belakang ejen, minta resit dan jangan buat bayaran ke akaun peribadi tanpa bukti.
“Pastikan semua dokumen disediakan oleh ejen sebelum sebarang bayaran dibuat.
“Antaranya termasuk surat tawaran, draf perjanjian penyewaan, salinan kad REN, perincian yuran secara bertulis, resit rasmi dan maklumat lengkap rumah yang disewa.
“Segala maklumat ini perlu jelas supaya kedua-dua pihak tahu hak masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa jika berlaku penipuan atau caj tersembunyi, penyewa boleh membuat aduan rasmi kepada LPPEH/BOVAEP atau Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) jika tuntutan tidak melebihi RM50,000.
“Hak penyewa dilindungi undang-undang. Jangan segan untuk buat aduan jika caj yang dikenakan melebihi kadar ditetapkan atau tidak telus.
“Penyewa juga perlu tahu mereka tidak terikat untuk membayar yuran jika tiada persetujuan jelas atau jika ejen itu tidak berdaftar,” jelasnya.
Sinky menegaskan bahawa yuran ejen yang berlebihan bukan sahaja membebankan penyewa tetapi juga memberi imej buruk kepada industri hartanah.
Ujanrnya, semua pihak untuk lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab masing-masing, selain memastikan urusan sewaan berjalan dengan adil dan mengikut peraturan.
“Kita mahu industri ini telus dan profesional. Penyewa perlu berani bertanya, berunding dan meminta semuanya hitam putih supaya hak mereka tidak dinafikan.
“Jangan biarkan diri dizalimi hanya kerana kurang maklumat. Segala panduan sudah ada. Semak, tanya dan pastikan semuanya mengiikut undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN









