Tiga projek RKB Terengganu jimat RM8.23 juta setahun

Tiga projek RKB Terengganu jimat RM8.23 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di Terengganu mencatatkan penjimatan kos pematuhan kira-kira RM8.23 juta setahun menerusi pengurangan tempoh masa memproses permohonan antara 85 hingga 95 peratus.

Menurut kenyataan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), pencapaian itu diumumkan sempena Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB sempena Program Madani Rakyat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Laman Payang pada 12 Julai lalu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar menyerahkan sijil penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang berjaya memendekkan masa memproses kelulusan Permit Kerja‑Kerja Kecil (PKK) daripada dua hari kepada 1 jam, sekali gus menjimatkan RM811,440 setahun dan melonjakkan produktiviti 144 kontraktor kecil.

Turut menerima sijil penghargaan ialah Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang melaksanakan inisiatif mempercepatkan kelulusan pelan bangunan sesebuah/Semi‑D daripada 36 hari kepada 5 hari, dengan penjimatan tahunan RM6.23 juta. 

“Produktiviti pemaju diunjur meningkat 20 hingga 30 peratus dan lima hingga lapan peluang pekerjaan diwujudkan bagi setiap projek. 

“Paling utama, rakyat di Terengganu akan menikmati harga rumah yang berpatutan kerana pengurangan kos pembangunan oleh pemaju,” katanya.

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) turut menerima sijil penghargaan bagi usaha mempercepatkan tempoh pembaikan kerosakan premis daripada 60 hari kepada tujuh hari untuk kerosakan kritikal dan kecemasan. 

Jelasnya, inisiatif ini menjimatkan RM1.19 juta setahun dan memberi manfaat kepada 1,193 pemilik premis.

Shamsul Azri berkata, keputusan dan tindakan pantas, penjimatan kos dan kepuasan rakyat adalah matlamat Reformasi Kerenah Birokrasi. 

“Syabas kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan pasukan MBKT, MPD dan PMINT yang membuktikan budaya kerja pantas, telus dan akauntabiliti boleh dicapai melalui pendigitalan proses, tindakan berasaskan risiko dan reformasi proses kerja,”  

Tambahnya, kejayaan projek-projek RKB oleh Terengganu menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan menyumbang kepada produktiviti di sektor awam dan swasta.

“Model yang diguna pakai bakal diperluas ke negeri‑negeri lain, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan kerajaan yang menjadi antara pengukuran utama keupayaan daya saing negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN