Synvista labur AS$50 juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri 

Synvista labur AS$50 juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor

PETER Phang ketika ditemui pemberita selepas SynVista Energy Storage Full Lifecycle Summit di sini, semalam. - UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Synvista Energy Sdn. Bhd., anak syarikat  Synvista Energy Holdings Pte. dari Singapura membangunkan kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor dengan pelaburan awal berjumlah AS$50 juta (RM235 juta).

Pengarah Eksekutifnya, Peter Phang berkata, kilang yang memberi tumpuan kepada pengeluaran bateri berkapasiti lima gigawatt jam itu dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan itu bakal mewujudkan 200 peluang pekerjaan dalam fasa pertama pembukaan.

Katanya, walaupun kemudahan itu disasarkan siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini, operasi sebenar akan bermula pada awal 2026 bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan memandangkan teknologi penyimpanan tenaga masih baharu di Malaysia.

“Kami dalam proses penyediaan bangunan dan pemasangan mesin dan telah menghantar pelan pembinaan kepada pihak berkuasa.

“Fasa pertama akan menggaji hampir 200 pekerja terdiri daripada jurutera dan juruteknik termasuk operator pengeluaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Kemuncak Kitar Hayat Penuh Penyimpanan Tenaga Synvista di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Peter berkata, syarikat juga merancang untuk mengeksport produknya ke beberapa pasaran luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Namun begitu, katanya, ketidaktentuan tarif di pasaran AS susulan perubahan dasar perdagangan memberi kesan terhadap tempahan eksport ke negara itu.

“Kami mempunyai tempahan besar dari AS bagi sistem penyimpanan tenaga, namun disebabkan ketidaktentuan tarif, beberapa pesanan terpaksa ditangguhkan.

“Justeru, kami sedang mengembangkan pasaran ke negara lain di rantau ini sebagai langkah mitigasi,” jelasnya. 

Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembinaan kilang pertama syarikat, Peter menjelaskan bahawa selain faktor strategik dan infrastruktur yang baik, sokongan dasar kerajaan terhadap tenaga boleh diperbaharui (TBB) turut menjadi pemangkin utama.

“Rantaian bekalan yang kukuh, dasar kerajaan yang menyokong industri hijau dan lokasi Malaysia yang strategik menjadikan negara ini pilihan terbaik untuk kami berkembang.

“Kami percaya dengan ekosistem yang sedia ada, Malaysia boleh menjadi hab penyimpanan tenaga serantau.

“Pihak kami turut optimis terhadap potensi dasar tenaga hijau negara yang dilihat semakin berkembang dan berharap kerajaan akan terus memperkukuh insentif dan subsidi untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih di semua peringkat industri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN