Proton X50 baharu terima satu tempahan setiap tiga minit

Proton X50 baharu terima satu tempahan setiap tiga minit

PROTON X50 baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton X50 serba baharu mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila sebanyak 5,000 tempahan telah diterima hanya dalam tempoh 10 hari selepas proses tempahan dibuka pada 5 Julai.

Ini bermaksud satu tempahan diterima setiap tiga minit, sekali gus mewakili 50 peratus daripada tawaran awal yang merangkumi rebat tunai RM1,000, kad Touch N Go edisi khas dan tawaran eksklusif GEMPAK! kepada 10,000 pelanggan pertama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, respon luar biasa yang  diterima untuk Proton X50 serba baharu ini jelas menunjukkan betapa model ini begitu digemari rakyat Malaysia. 

“Kami berbesar hati menerima 5,000 tempahan dalam hanya 10 hari dan untuk meneruskan momentum menjelang minggu akhir sebelum pelancaran, kami akan mula menawarkan ujian pandu di semua cawangan kami bermula 19 Julai agar pelanggan dapat merasai pengalaman sebenar di jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan pengeluaran Proton di Tanjong Malim juga telah berusaha keras membina stok agar penyerahan kereta kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran. 

“Sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 5,000 unit sedia untuk pendaftaran menjelang akhir Ogos bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan selepas membuat tempahan,” ujarnya.

Tambahnya, harga penuh akan diumumkan semasa majlis pelancaran rasmi yang dijadual berlangsung pada malam 24 Julai.

Dengan reka bentuk baharu luaran dan dalaman, teknologi ADAS Tahap 2 yang dipertingkat, enjin baharu, sistem infotainmen (IHU) yang dinaik taraf dengan skrin bersaiz 14.6 inci serta buat julung kalinya pengiktirafan suara dalam bahasa Melayu, X50 baharu ini disasarkan kepada pembeli yang menjalani gaya hidup aktif.

“Selaras dengan tema ini, acara pelancaran dan pengumuman harga akan diadakan di lokasi bertemakan gaya hidup yang mencerminkan semangat berani dan progresif model ini, menjanjikan pelancaran yang dinamik dan mengasyikkan.

“Ditawarkan dalam tiga varian iaitu Executive, Premium dan Flagship, X50 baharu dijana oleh enjin baharu i-GT 1.5 TD dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×