PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan di Laluan Kelana Jaya secara berperingkat pada hujung minggu terpilih untuk mengurangkan gangguan dari Ogos hingga November 2025, melibatkan Fasa 2 dan Fasa 3.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr. Prodyut Dutt berkata, kerja naik taraf itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan gangguan berskala besar yang berlaku pada November 2022.
“Prasarana kini beralih kepada sistem semboyan SelTrac Generasi 8, menawarkan teknologi terkini termasuk analisis data masa nyata, keselamatan siber yang lebih baik dan kestabilan komunikasi yang lebih tinggi.
“Sistem baharu ini dijangka memanjangkan jangka hayat sistem semboyan sedia ada sehingga 20 tahun dan memastikan sistem semboyan laluan tersebut dapat dinaik taraf dengan lebih selamat dan efisien, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan tren dalam jangka panjang.
“Jadi, antara peningkatan kritikal yang akan dilaksanakan termasuk aspek keselamatan siber dan analisis data, sejajar dengan keperluan operasi semasa,” katanya semasa Taklimat Dan Sidang Media Pengumuman Kerja-kerja Penaiktarafan Sistem Semboyan Laluan Kelana Jaya di sini, semalam.
Menurutnya, kos keseluruhan bagi projek Midlife Upgrade itu adalah sebanyak RM150 juta, merangkumi Fasa 1, 2 dan 3 projek penaiktarafan tersebut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd Yusof berkata, perkhidmatan tren bagi stesen-stesen yang terlibat akan dibuka lewat, hanya bermula pada pukul 9.00 pagi pada hari-hari yang ditetapkan sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf dijalankan.
Menurutnya, bagi Fasa 2, tarikh-tarikh yang terlibat ialah 9 Ogos, 10 Ogos, 16 Ogos, 17 Ogos dan 23 Ogos, diikuti 5 September, 6 September, 7 September dan 14 September.
“Sebanyak 10 stesen yang terjejas merangkumi KLCC, Ampang Park, Damai, Dato’ Keramat, Jelatek, Setiawangsa, Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Melati dan Gombak.
“Sementara itu, Fasa 3 akan berlangsung pada 11 Oktober, 12 Oktober, 18 Oktober dan 19 Oktober serta 1 November, 15 November, 16 November dan 22 November.
“Bagi fasa ini pula sebanyak 17 stesen yang terlibat dalam fasa ini termasuk Lembah Subang, Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum, Bangsar, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park,” katanya.
Bagi meminimumkan kesan kepada pengguna yang memulakan perjalanan awal pagi, perkhidmatan bas dan van perantara percuma akan disediakan bermula pukul 6 pagi hingga 9 pagi bagi menghubungkan semua stesen yang terlibat.
Katanya, perkhidmatan ini akan beroperasi dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit bagi bas tertakluk kepada keadaan trafik semasa dan mengikut permintaan bagi van. – UTUSAN










