PANDEMIK dah berlalu, ekonomi semakin pulih, tapi simpanan tak juga bertambah, mungkin ini masa sesuai untuk semak semula keadaan kewangan anda.
Enam bulan pertama 2025 sudah berlalu dan banyak perkara mungkin berubah dari kenaikan kos sara hidup, pindah kerja, kahwin, atau tambah komitmen bulanan.
Tanpa semakan berkala, kita mudah terjebak dengan perbelanjaan impulsif, pelaburan tanpa hala tuju, atau simpanan yang tak cukup.
Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan buat semakan kewangan tengah tahun supaya anda lebih bersedia untuk enam bulan mendatang.
TENGOK SEMULA ALIRAN TUNAI
Langkah pertama ialah semak ke mana duit anda mengalir sejak Januari.
Lihat penyata bank, senarai transaksi e-dompet, dan ringkasan kad kredit, adakah lebih banyak duit digunakan untuk keperluan atau kehendak?
Jika majoriti perbelanjaan tidak menyumbang kepada matlamat kewangan jangka panjang, mungkin sudah tiba masa untuk betulkan semula keutamaan.
KIRA SEMULA SIMPANAN KECEMASAN
Simpanan kecemasan yang ideal ialah sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji.
ika sejak awal tahun anda terpaksa menggunakan simpanan ini, semak semula adakah anda sudah top up semula atau ia masih kosong tanpa sedar.
Simpanan kecemasan penting kerana ia jadi penyelamat ketika kecemasan kesihatan, kehilangan kerja atau kerosakan besar.
SEMAK PRESTASI HUTANG ANDA
Tinjau semula semua komitmen bulanan termasuk pinjaman peribadi, kereta, rumah, kad kredit dan Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL).
Tanya diri jika anda sentiasa bayar tepat waktu atau sudah mula terlepas bayaran?
Jika komitmen makin menghimpit aliran tunai, anda perlu pertimbang untuk konsolidasi hutang, kurangkan langganan tidak penting atau buat pelan bayar balik lebih jelas.
NILAI SEMULA MATLAMAT KEWANGAN TAHUN INI
Apakah matlamat kewangan anda pada Januari? Adakah anda ingin membeli rumah, menambah dana persaraan atau memulakan perniagaan kecil?
Semak status matlamat tersebut, adakah anda sudah capai sebahagian, atau langsung tak mula?
Kadang-kadang matlamat perlu disesuaikan mengikut realiti semasa, jadi pastikan ia masih relevan dan boleh dicapai dalam enam bulan terakhir tahun ini.
KEMASKINI BAJET BULANAN
Gaji naik? Komitmen bertambah? Kos barang dapur makin tinggi?
Bajet yang tidak dikemas kini boleh menyebabkan anda terus ‘bocor’ tanpa sedar.
Gunakan semakan pertengahan tahun ini untuk susun semula bajet mengikut keperluan semasa dan potong mana-mana perbelanjaan yang tidak lagi penting.
PERIKSA LINDUNGAN INSURANS ATAU TAKAFUL
Ramai lupa semak perlindungan perubatan atau hayat sejak bertahun lalu.
Adakah pelan masih aktif, cukup dan relevan dengan keadaan semasa anda, contohnya jika anda baru berkahwin atau sudah ada anak?
Perlindungan yang tidak mencukupi boleh membawa risiko kewangan besar apabila berlaku musibah.-UTUSAN