PETALING JAYA: Malaysia Airlines akan terus mengukuhkan sambungan ke Selatan India dengan menambah kekerapan penerbangan ke bandar tersebut, susulan muatan yang menggalakkan dan permintaan yang berterusan bagi laluan Kuala Lumpur – Trivandrum.
Bermula 12 September 2025, syarikat penerbangan itu akan memperkenalkan perkhidmatan kelima setiap minggu, diikuti operasi harian yang akan bermula pada 1 Disember 2025.
Tiket untuk kekerapan baharu ini kini boleh ditempah melalui semua saluran rasmi Malaysia Airlines dan rakan pelancongan yang dilantik.
Peningkatan kekerapan ini mengukuhkan lagi komitmen Malaysia Airlines terhadap pasaran India dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada para pengembara, di samping meningkatkan sambungan antara India dan Malaysia.
Ini merupakan langkah penting yang mencerminkan pertumbuhan memberangsangkan laluan ini sejak ia dilancarkan pada November 2023, bermula dengan dua penerbangan mingguan sebelum meningkat kepada empat kali seminggu pada April 2024.
Beroperasi melalui hab utamanya di Kuala Lumpur, syarikat penerbangan ini terus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Penerbangan Malaysia, Dersenish Aresandiran berkata, India kekal sebagai pasaran tumpuan utama bagi Malaysia Airlines dan peningkatan kekerapan ini mengesahkan dedikasi syarikat dalam memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat dari Selatan India.
“Dengan pengenalan penerbangan harian ke Trivandrum bermula Disember, kami berada pada kedudukan terbaik untuk menawarkan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada pengembara perniagaan dan pelancong, di samping menyokong aliran perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
“Selain itu, kami juga berbangga menyampaikan hospitaliti Malaysia sepanjang perjalanan, memastikan pengalaman perjalanan yang mesra, boleh dipercayai dan tidak dapat dilupakan yang mencerminkan nilai jenama kami,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia Airlines kini mengendalikan 77 penerbangan mingguan ke sepuluh bandar utama di India termasuk Delhi, Mumbai, Bengaluru, Chennai, Hyderabad, Kochi, Ahmedabad, Amritsar, dan Trivandrum.
Dengan penambahan baharu ini, jumlah tersebut akan meningkat kepada 80 penerbangan mingguan menjelang Disember 2025.
Pengembara antarabangsa yang terbang melalui Malaysia juga boleh memanfaatkan program Bonus Side Trip (BST) Malaysia Airlines, yang menawarkan penerbangan domestik ke salah satu daripada tujuh destinasi dalam Malaysia dengan tambang asas sifar.
Tawaran nilai tambah ini membolehkan pelancong antarabangsa meneroka lebih banyak budaya, alam semula jadi dan warisan unik Malaysia, semuanya dalam satu jadual perjalanan. – UTUSAN