PETALING JAYA: Beberapa bank tempatan mengumumkan menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Asas Standard (SBR) masing-masing, selaras dengan pengurangan kadar asas semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.
CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) berkata, bank akan melaksanakan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas yang sama ke atas SBR serta Kadar Lembaga bagi Deposit Tetap/Akaun Pendapatan Pulangan Tetap-i.
“Begitu juga, semua kemudahan pembiayaan yang berdasarkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) akan dikurangkan sebanyak 0.25 peratus. Semua perubahan kadar ini akan berkuat kuasa mulai 14 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd juga mengumumkan penurunan kadar SBR, BR, BLR/BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.57 peratus dan 6.42 peratus setahun, berkuat kuasa 15 Julai.
“Selaras dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menyesuaikannya kadar deposit tetap ke bawah pada tarikh kuat kuasa yang sama,” ujarnya.
Dalam pada itu, RHB Banking Group yang akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.50 peratus dan 6.45 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai.
Bank berkata kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas.
Kumpulan perbankan berkata, pengurangan 25 mata asas itu memperlihatkan SBR diturunkan kepada 2.75 peratus setahun berbanding 3.00 peratus sebelum ini; BR kepada 3.50 peratus setahun daripada 3.75 peratus, sementara BLR dan BFR kepada 6.45 peratus setahun daripada 6.70 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pengurangan kadar itu mencerminkan sokongan berterusan pihaknya terhadap usaha BNM untuk merangsang permintaan domestik melalui dasar monetari yang akomodatif.
“Dengan mengurangkan kos pinjaman, kami membantu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sambil menggalakkan penggunaan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.
Sementara itu, Public Bank menurunkan kadar SBR, BR, BLR/ BRF, masing-masing sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 11 Julai, 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata SBR bank adalah 2.75 peratus seiring dengan OPR, manakala BR akan dikurangkan kepada 3.27 peratus daripada 3.52 peratus dan BLR/BFR akan dikurangkan kepada 6.47 peratus daripada 6.72 peratus.
“Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan menurun, berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya.
Maybank pula akan menurunkan kadar BR dan BLR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan 6.40 peratus setahun, berkuat kuasa pada 11 Julai.
Bank berkata kadar pembiayaan asas Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada 6.65 peratus kepada 6.40 peratus setahun.
“Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada hari yang sama,” jelasnya. – UTUSAN