PETALING JAYA: Sektor penjagaan kesihatan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sehingga AS$939 billion (RM4.45 trillion) menjelang tahun 2032, dipacu oleh pertumbuhan eksport, pelaburan asing serta peningkatan teknologi digital.
Jangkaan itu disokong oleh penganjuran Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 yang kini berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah portfolio serantau Informa Markets bagi ASEAN, Rungphech (Rose) Chitanuwat, program tersebut bukan sekadar platform pameran produk kesihatan, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi sektor tersebut.
“IHW 2025 membuka peluang besar kepada pengeluar tempatan untuk meneroka pasaran eksport dan menarik pelabur asing melalui kerjasama perniagaan serta pemindahan teknologi.
“Peluang ini akhirnya membantu Malaysia dalam pasaran kesihatan global dan sekali gus membolehkan pemain industri menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih berkesan,” katanya.
Program anjuran Informa Markets itu menghimpunkan lebih 900 pempamer dari lebih 50 negara, mempamerkan lebih 15,000 produk dan dijangka menarik lebih 21,000 pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Antara sesi yang mendapat perhatian termasuk teknologi perubatan (MedTech), farmaseutikal, makmal, kesihatan digital serta kesejahteraan, sejajar dengan permintaan global terhadap rawatan berkualiti, inovatif dan mampu milik.
Katanya lagi, IHW 2025 menyediakan platform padanan perniagaan dan sesi persidangan yang mempertemukan pemain industri serta pelabur untuk meneroka dan membincangkan penyelesaian masa depan sektor kesihatan itu.
“Syarikat pemula akan mendapat pendedahan kepada pelabur global, akses kepada platform padanan perniagaan dan peluang mempamerkan penyelesaian bersama pemain antarabangsa.
“Kami bukan sekadar mempamerkan produk, kami ingin bantu membentuk sistem yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang dipercayai untuk pesakit antarabangsa,” katanya. – UTUSAN