PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Projek Pemuliharaan Hutan Paya Bakau bagi memulihara dan melindungi ekosistem hutan paya bakau di Hutan Simpan Banjar Utara, Kuala Selangor.
Inisiatif itu menyasarkan penanaman sebanyak 1,000 anak pokok bakau di sepanjang kawasan pesisir dengan penyertaan sukarelawan daripada program Sahabat DRB-HICOM dan para pelajar UiTM yang setakat ini telah menanam 450 anak pokok.
Ketua Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir berkata, projek itu mencerminkan usaha DRB-HICOM dengan kerjasama institusi akademik dan komuniti setempat terhadap kelestarian alam.
“Program ini tidak berhenti setakat penanaman pokok. Projek ini akan menjadi pelaburan jangka panjang terhadap alam sekitar dan rakyat kita.
“Melalui kerjasama dengan UiTM, kami berharap dapat memberi impak positif bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada pendidikan dan pembangunan komuniti yang lebih meluas,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, inisiatif tersebut memberi peluang kepada pekerja mereka untuk meneroka alam sekitar, di samping memperoleh pengalaman dan pengetahuan tentang kelestarian alam.
“Kerjasama ini membentuk asas kukuh dalam usaha menyantuni dan menyokong komuniti tempatan, sambil menyumbang dengan signifikan kepada agenda kelestarian negara,” katanya.
Dalam pada itu, Projek Pemuliharaan Hutan Paya Bakau merupakan kerjasama selama tiga tahun bersama Fakulti Alam Bina UiTM, yang turut merangkumi pemantauan berterusan hutan paya bakau di kawasan tersebut, analisis stok karbon tanah dan bengkel pendidikan bersama komuniti setempat. – UTUSAN