PETALING JAYA: Sapura Energy Berhad (SEB) mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) bagi Cadangan Pelan Penjenamaan Semula (PRP) SEB melalui surat bertarikh 30 Jun 2025.
Ini merupakan pencapaian penting dalam usaha strategik syarikat untuk menyusun semula hutang, mengukuhkan kedudukan kewangannya dan keluar daripada status sebagai syarikat yang diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (PN17).
PRP yang diluluskan merangkumi langkah-langkah menyeluruh termasuk penyusunan semula modal, penstrukturan semula hutang, inisiatif pengumpulan dana serta pengecualian peraturan yang diperlukan.
Inisiatif ini direka bentuk untuk menangani kerugian terkumpul dan mengurangkan jumlah pinjaman bagi menyokong pemulihan perniagaan SEB serta meletakkan asas bagi pertumbuhan masa hadapan.
Dana yang dicadangkan akan digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada vendor dalam ekosistem minyak dan gas Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Bursa Securities atas kelulusan ini.
“Ini bukan sahaja mengesahkan strategi penjenamaan semula kami, malah membuka laluan untuk kami keluar daripada PN17 dengan lebih kukuh dan berdaya tahan.
“Kami tetap komited untuk melaksanakan Pelan Penjenamaan Semula ini secara bertanggungjawab, memberikan nilai kepada pihak berkepentingan serta mengembalikan keyakinan pasaran terhadap perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, satu mesyuarat agung pemegang saham akan diadakan dalam masa terdekat untuk meluluskan PRP dan selepas itu SEB akan melaksanakan langkah-langkah yang telah diluluskan dan mencapai pematuhan penuh dengan keperluan penyenaraian Bursa Securities.
Dengan tarikh berkuatkuasa penstrukturan disasarkan pada Ogos 2025 atau selewat-lewatnya pada tarikh akhir 11 Mac 2026, kumpulan ini dijangka menamatkan salah satu proses penstrukturan semula yang paling kompleks dalam sejarah negara. – UTUSAN