BANGI: Brahim’s Holdings Berhad dalam rundingan akhir bagi membuka dapur katering baharu di luar negara melalui usaha sama strategik.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pengumunan rasmi berkaitan perkara tersebut dijangka dibuat pada Oktober ini.
“Masih terlalu awal untuk saya umumkan butiran penuh, tetapi jika semuanya berjalan lancar, kita jangka pengumuman rasmi boleh dibuat sekitar Oktober ini,” katanya katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun ke-37 Brahim’s dan Sumbangan RM250,000 kepada Rakan Misi Food Aid Foundation.
Beliau berkata, syarikat menyaksikan pemulihan berterusan dalam segmen katering penerbangan apabila lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa kembali mendapatkan perkhidmatannya, termasuk dua pelanggan baharu.
Katanya, daripada keseluruhan 38 pelanggan sebelum pandemik, sebahagian besar telah kembali menggunakan perkhidmatan Brahim’s dan syarikat turut menerima dua pelanggan baharu, masing-masing dari China dan Asia Timur.
“Mereka masih datang semula, cuma belum sepenuhnya lagi. Masih dalam proses.
“Namun, kehadiran dua pelanggan baharu menunjukkan keyakinan yang semakin pulih terhadap kualiti dan keupayaan operasi Brahim’s,” ujarnya.
Menurutnya, antara pelanggan utama yang masih mengekalkan kerjasama ialah Qatar Airways, Emirates, British Airways, Turkish Airlines, Japan Airlines dan All Nippon Airways.
“Dari segi operasi, kita sudah mencapai tahap pulang modal. Jadi apa-apa yang masuk selepas ini, Alhamdulillah, adalah bonus. Kita juga sedang menunggu satu lagi syarikat penerbangan baharu,” ujarnya.
Terdahulu, Brahim’s Holdings menyalurkan sumbangan berjumlah RM250,000 kepada Food Aid Foundation, bagi menyokong inisiatif menangani isu kelaparan dan memperkukuh keselamatan makanan di negara ini.
“Kumpulan Brahim’s percaya makanan tidak seharusnya menjadi keistimewaan segelintir pihak sahaja.
“Sumbangan ini mencerminkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan komitmen kami untuk memastikan tiada siapa yang kelaparan,” katanya.
Dalam majlis sama, Ibrahim turut mengumumkan promosi istimewa sempena ulang tahun ke-37 jenama tersebut, termasuk potongan harga sehingga 22 peratus di Brahim’s Shoppe @ Bangi dan di Kedai Dalam Talian Brahim’s. – UTUSAN










