Teknologi AI: Cabaran permintaan tenaga perlu ditangani segera

Teknologi AI: Cabaran permintaan tenaga perlu ditangani segera

TENGKU Muhammad Taufik Tengku Aziz (kanan) dalam forum penutup ‘Reflections From Energy Asia 2025’ sempena Energy Asia 2025 di KLCC, semalam. – Utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak permintaan tenaga akibat kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai cabaran baharu yang perlu ditangani segera, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kehadiran AI bukan sahaja memacu lonjakan penggunaan tenaga, malah telah membuka ruang untuk teknologi itu digunakan bagi meningkatkan kecekapan dan daya tahan sistem tenaga masa hadapan.

“AI kini bukan sekadar pengguna tenaga utama, malah akan menjadi alat yang memperkasa sistem tenaga global. Kita bercakap mengenai permintaan tenaga yang melonjak disebabkan pusat data dan automasi, tetapi pada masa sama AI juga membantu kita menstruktur semula sistem bekalan dan pengagihan dengan lebih efisien.

“Melihat kepada arah pembangunan ekonomi dan Revolusi Industri Kelima yang semakin rancak di rantau ini, kita tiada pilihan lain selain bersedia dari sekarang untuk menyokong infrastruktur elektrik yang semakin kompleks,” katanya pada sesi penutup Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Tengku Muhammad Taufik berkata, tumpuan harus diberikan kepada membina keupayaan tenaga yang fleksibel dan mampan untuk menyokong teknologi AI yang sedang berkembang pesat, selain meningkatkan pelaburan dalam sistem penyimpanan tenaga dan grid pintar.

“Malah, Petronas sendiri telah mengadaptasi pendekatan berasaskan AI dalam operasi dan penyelenggaraan loji, pemantauan kebocoran metana serta pengoptimuman rantaian bekalan gas asli cecair (LNG) dalam usaha menambah baik kecekapan tenaga,” katanya. 

Sementara itu, beliau memberitahu Energy Asia  2025 telah memeterai 14 memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai kerjasama termasuk tenaga boleh baharu, karbon, eksplorasi minyak dan gas serta inovasi teknologi tenaga. 

Katanya, persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Jun itu bukan sekadar mengenai perbincangan namun, ia mengenai resolusi dan tindakan. 

“Saya amat berbangga kerana antara inisiatif yang dimeterai termasuk penubuhan syarikat usaha sama yang akan memulakan penghantaran CO2 cecair rentas sempadan dalam masa terdekat. Ini adalah usaha di bawah MISC, dengan kerjasama rakan kongsi termasuk subsidiari Petronas.

“Ini bukan lagi sekadar perbincangan, kami benar-benar melaksanakan inisiatif pergerakan rentas sempadan, dan kita menawarkan projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai perkhidmatan serta penyelesaian kepada rantau ini, khususnya bagi sektor yang sukar untuk mengurangkan pelepasan karbon,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN