KUALA LUMPUR: Saudagar Worldbridge Holding Berhad menjalin kerjasama strategik bersama Finexus Pte Ltd dari Singapura untuk membangunkan sebuah platform digital berasaskan teknologi awan (cloud) yang menyasarkan pasaran serantau khususnya ASEAN.
Pengerusi Saudagar World Bridge Holding Berhad, Datuk Is Dr. Abdul Aziz Abdul Majid berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar transformasi daripada aplikasi tempatan kepada platform awan, malah membawa misi memperkasa penyertaan syarikat bumiputera dalam ekonomi digital global.
Katanya, melalui gabungan kepakaran dan pemikiran strategik kedua-dua pihak, projek ini dijangka membentuk ekosistem digital yang menyeluruh bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.
“Kami telah menaik taraf perniagaan ini daripada sekadar platform kepada sistem cloud penuh bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada usahawan tempatan, khususnya bumiputera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat dan Finexus Pte Ltd baru-baru ini.
Platform baharu itu dijangka membolehkan pelbagai fungsi termasuk e-dagang, sistem pembayaran elektronik, tempahan tiket serta integrasi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pelbagai keperluan harian dan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Finexus Pte Ltd, Jevon Hoh berkata, syarikatnya komited membawa sokongan teknologi, pemindahan kepakaran serta pembiayaan strategik bagi memastikan kejayaan projek ini.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada visi besar ini. Ia bukan hanya untuk Malaysia, tetapi untuk komuniti perniagaan serantau khususnya ASEAN.
“Platform ini akan menjadi terbuka dan inklusif, membolehkan pelbagai usahawan menikmati teknologi yang kami bangunkan bersama.
“Pendekatan ‘open platform’ itu juga membolehkan penyesuaian berterusan terhadap teknologi terkini, sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan dalam landskap ekonomi digital serantau,” katanya.
Sebagai sebahagian pelaksanaan, delegasi Saudagar Worldbridge akan menyertai latihan intensif di ibu pejabat Alibaba Group di Hangzhou, China untuk mempelajari sistem bandar pintar serta integrasi teknologi AI dalam sektor perniagaan. – UTUSAN










