KUALA LUMPUR: Signature Alliance Group (SAG), pakar utama kerja kemasan dalaman, memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 68 sen sesaham, lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 62 sen.
Saham syarikat itu melonjak setinggi 69.5 sen sebelum didagangkan pada 68 sen setakat jam 9.15 pagi, dengan lebih 35 juta unit bertukar tangan mencerminkan premium sekitar 8 peratus berbanding harga penawaran.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan SAG, Darren Chang berkata, prestasi kukuh pada hari pertama penyenaraian disumbangkan oleh asas kukuh perniagaan serta sokongan pelanggan sedia ada dan baharu.
Ujarnya, industri yang diceburi SAG sedikit berbeza daripada sektor pembinaan konvensional kerana projek perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat, lazimnya antara satu hingga 15 bulan.
“Kami kini mempunyai buku pesanan belum dibil sebanyak RM388.6 juta serta tender dalam proses berjumlah RM1.1 bilion. Berdasarkan rekod prestasi kami, kadar kejayaan dalam memperoleh tender adalah sekitar 15 peratus hingga 20 peratus, yang membantu kami mengekalkan aliran kerja berterusan.
“Oleh itu, kami sentiasa aktif dalam proses tender untuk menambah semula buku pesanan. Sebahagian besar projek adalah pesanan ulangan daripada pelanggan jangka panjang, di samping kemasukan pelanggan baharu,” katanya ketika sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, semalam.
Syarikat itu berjaya mengumpul RM161.2 juta dengan RM88 juta atau 54.6 peratus akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat korporat baharu dan fasiliti pengeluaran di Selangor.
Selain itu, sejumlah RM30.1 juta atau 18.7 peratus akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong keperluan operasi projek kemasan dalaman.
Baki dana akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank sebanyak RM20.0 juta atau 12.4 peratua, RM12 juta (7.4 peratus) bagi pembukaan pejabat cawangan di Pulau Pinang dan Johor, RM4.0 juta (2.5 peratus) bagi membeli mesin dan peralatan tambahan untuk meningkatkan automasi dan keupayaan penyampaian projek manakala RM7.1 juta (4.4 peratus) untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas mengenai pengembangan syarikat, Darren Chang berkata, syarikat akan membuka pejabat cawangan di Pulau Pinang dan Johor bagi mengukuhkan kehadiran di peringkat serantau.
Katanya, syarikat lebih aktif di Johor dengan banyak projek terkenal seperti hotel, pusat membeli-belah dan kediaman yang telah dilaksanakan.
“Kedua-dua kawasan ini menunjukkan pengembangan yang luar biasa.
“Kami perlu memperluas pejabat bagi menampung pertambahan pelanggan. Sebelum ini, kekangan modal menjadi had kepada perkembangan operasi. Kini, kami dapat membuat persiapan yang lebih menyeluruh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.-UTUSAN










