Ringgit kembali kukuh pada RM4.2327 minggu ini

Ringgit kembali kukuh pada RM4.2327 minggu ini

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit menunjukkan pemulihan ketara selepas menyusut ke paras terendah RM4.294 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 23 Jun lalu, apabila ia kembali mengukuh kepada RM4.232 menandakan peningkatan nilai sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh hanya tiga hari dagangan.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemulihan ini disokong oleh kelemahan berterusan dalam Indeks Dolar AS (DXY) yang dilihat berada dalam trajektori menurun.

Katanya, ini berikutan jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS susulan tanda-tanda kelembapan dalam ekonomi negara itu.

“Prestasi ringgit akan terus stabil dan berpotensi diniagakan lebih kukuh dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS pada minggu hadapan, selari dengan sentimen pasaran global yang berhati-hati menjelang keluaran data utama pasaran buruh AS dan ketidaktentuan dasar perdagangan negara tersebut.

“Pengukuhan ringgit baru-baru ini juga mencerminkan pemulihan keyakinan pelabur terhadap pasaran kewangan serantau, di samping faktor luaran seperti kelemahan dolar yang memberi ruang kepada mata wang Asia untuk mencatatkan prestasi lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, pasaran akan terus memantau rapat perkembangan data Nonfarm Payrolls (NFP) dan kadar pengangguran AS, yang dijangka memainkan peranan penting dalam hala tuju dasar monetari Fed bagi separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh pada minggu hadapan dengan unjuran mencecah paras sekitar RM4.17.

Katanya, ini didorong oleh pelbagai faktor luaran dan serantau yang menyokong aliran masuk modal ke pasaran sedang pesat membangun.

”Ringgit terus menunjukkan prestasi positif apabila ia bukan sahaja mengukuh berbanding dolar AS, tetapi turut mencatatkan pengukuhan berbanding beberapa mata wang utama lain seperti pound sterling dan euro.

“Antara pemangkin utama ialah perkembangan positif di Asia Barat dengan ketegangan geopolitik yang semakin reda, sekali gus mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap risiko global. Kestabilan ini memberi kesan kepada harga komoditi dan menggalakkan pemulihan sentimen pasaran kewangan serantau,” katanya. 

Selain itu, trend global menunjukkan semakin banyak negara mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS. 

“Kebimbangan terhadap ketidakstabilan dolar, yang telah menunjukkan kelemahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mendorong sesetengah negara dan pelabur institusi untuk mempelbagaikan pegangan mata wang mereka.

“Langkah-langkah dedolarisasi secara beransur-ansur oleh beberapa ekonomi sedang pesat membangun memberi ruang kepada mata wang serantau seperti ringgit untuk lebih menyerlah,” katanya. 

Menurut beliau, dengan sentimen pasaran yang lebih positif dan faktor geopolitik yang bertambah stabil, prestasi ringgit dijangka terus bertambah baik dalam jangka masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN