Reformasi fiskal pastikan kelestarian, lindungi rakyat

Reformasi fiskal pastikan kelestarian, lindungi rakyat berpendapatan rendah

JOHAN MAHMOOD MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan reformasi fiskal kerajaan, termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi elektrik dan diesel, bertujuan memastikan kelestarian fiskal selain terus melindungi golongan berpendapatan rendah dan sektor strategik negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan Madani komited mencapai sasaran defisit fiskal bawah 3.0 peratus serta nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 60 peratus, selain mengehadkan jaminan kerajaan kepada 8.0 peratus.

“Apabila kerajaan Madani mengambil alih, kedudukan fiskal negara tidak mampan. Maka, kita melaksanakan rangka kerja reformasi fiskal termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal bagi memberikan hala tuju jelas serta pendekatan berperingkat dalam menurunkan defisit.

“Perkara yang membuatkan saya agak ‘popular’ beberapa minggu kebelakangan ini adalah berkenaan SST.

“Namun, pendekatan yang diambil adalah lebih bersasar dan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, ia selaras dengan semangat perlindungan sosial, iaitu bagaimana ia dapat dilaksanakan secara lebih progresif.

“Kita akui kerajaan memerlukan dana tambahan untuk meningkatkan asas cukai kerana nisbah cukai kepada KDNK kita hanya sekitar 12.5 peratus, iaitu antara yang terendah di rantau ini,” katanya pada sesi Fireside Chat: Social Society Nets: Securing the Future sempena Sasana Simposium di sini, semalam.

Beliau berkata, pendekatan bersasar lebih merujuk kepada bagaimana kerajaan menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat.

Katanya, seperti diketahui, kerajaan mempunyai Program Sumbangan Asas Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). 

“STR sahaja mempunyai sembilan juta penerima. Bantuan ini sering dikaitkan dengan golongan B40, tetapi dengan sembilan juta penerima, jika dikira berdasarkan bilangan isi rumah, ia hampir mencecah 60 peratus.

“Namun, matlamatnya adalah sekurang-kurangnya membantu separuh penduduk berpendapatan rendah,” katanya. 

Mengulas isu subsidi bahan api, beliau berkata, pendekatan menyeluruh menaikkan harga pasaran dan menggantikan dengan bantuan tunai boleh menjadi regresif, khususnya bagi pekerja yang tinggal jauh dari bandar.

“Sebahagian rakyat, termasuk penjawat awam sendiri, tinggal jauh dan bergantung pada penggunaan bahan api. Jika bantuan tunai disalurkan secara rata, ia tidak menampung kos sebenar yang ditanggung,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan mengambil langkah sasaran seperti pengurangan subsidi ke atas pengguna tenaga elektrik tinggi serta syarikat besar, manakala 80 peratus isi rumah tidak terkesan.

“Pendekatan sama turut digunakan bagi diesel, di mana syarikat logistik masih menikmati harga bersubsidi bagi mengawal inflasi dan kos barangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN