PETALING JAYA: Radium Healthcare Sdn. Bhd. menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kehadiran syarikat dalam pasaran tempatan, dengan memberi tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar yang masih kurang mendapat akses perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, masih wujud keperluan ketara dalam sektor penjagaan kesihatan di luar pusat bandar utama, yang membuka ruang bagi pertumbuhan yang mampan dan berimpak tinggi.
“Fokus utama kami ketika ini adalah pasaran Malaysia. Kami percaya bahawa masih banyak potensi yang belum diterokai, terutamanya dalam memastikan akses kesihatan yang lebih saksama di seluruh negara.
“Walaupun memberi keutamaan kepada pasaran domestik, kami turut menyatakan keterbukaannya untuk meneroka peluang baharu pada masa hadapan, sama ada di peringkat tempatan mahupun serantau.
“Setiap langkah pengembangan akan dipertimbangkan dengan teliti, sejajar dengan objektif strategik serta nilai teras syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gary berkata, penjagaan kesihatan merupakan satu keperluan asas dan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan terus meningkat, didorong oleh faktor-faktor seperti penuaan populasi, kemajuan dalam bidang perubatan, serta kesedaran kesihatan yang semakin tinggi.
“Sebagai sebuah kumpulan yang berakar umbi dalam pembangunan hartanah berteraskan komuniti, penglibatan kami dalam sektor penjagaan kesihatan ini merupakan satu perkembangan semula jadi dan juga satu langkah kepelbagaian strategik.
“Langkah pengembangan ini membolehkan kami membina daya tahan jangka panjang dengan menceburi sektor yang penting, tahan kemelesetan ekonomi, dan memberi impak sosial yang besar.
“Ia juga sejajar dengan nilai teras kami iaitu ‘Building Good’, di mana kami melihat melangkaui pembangunan infrastruktur fizikal kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat,’ katanya.
Radium Healthcare berhasrat untuk membawa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, inklusif dan moden kepada komuniti yang masih kurang mendapat akses, khususnya di bandar tahap dua seperti Ayer Keroh.
Ketika pelaburan hospital swasta kebanyakannya tertumpu di bandar-bandar utama, wujud jurang ketara dalam akses penjagaan kesihatan bagi penduduk di kawasan serantau yang sedang pesat membangun Radium Hospital @ Ayer Keroh diwujudkan bagi merapatkan jurang ini dengan menawarkan penjagaan kesihatan tahap tertiari.
Hospital ini dilengkapi dengan 140 katil, 25 klinik pakar, serta empat Pusat Kecemerlangan iaitu traumatologi, kardiologi, rawatan kesuburan dan neonatologi.
Hospital ini merupakan teras kepada pembangunan bersepadu Radium Centricity, yang dirancang di atas tanah seluas 2.8 hektar, berkonsepkan kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup.-UTUSAN










