PTP catat rekod pengendalian tiga bulan berturut-turut

PTP catat rekod pengendalian tiga bulan berturut-turut

PERDAGANGAN Malaysia pada Januari mencatatkan paras tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh 36 tahun sejak 1990. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda telah mencatatkan rekod baharu operasi pelabuhan dengan mengendalikan 1,269,389 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh sebulan pada Mei 2025.

Kejayaan ini adalah rentetan daripada rekod kendalian bulanan PTP sebelum ini apabila mencatatkan 1,183,759 TEU pada Mac dan 1,215,751 TEU pada April tahun ini, menandakan tiga rekod kendalian bulanan berturut-turut yang mengagumkan.

Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja menjadikan PTP pelabuhan pertama di Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan ini secara berturut-turut, malah memperkukuh status PTP sebagai satu daripada hab transshipment terkemuka, baik di rantau ini mahupun di peringkat global.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian terbaharu itu benar-benar luar biasa, melangkaui rekod kendalian April dengan penambahan lebih 53,000 TEU, sekali gus menunjukkan satu lonjakan yang signifikan. 

Ujarnya, menerusi momentum positif itu, pihaknya menjangkakan persekitaran operasi PTP akan kekal kukuh sepanjang tahun ini, meskipun berdepan dengan persekitaran global yang mencabar.

“Dengan menguruskan volum kargo sebesar ini secara lancar membuktikan kami secara konsisten memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada para pelanggan dan rakan kongsi.

“Pada masa sama, kami turut berbangga kerana dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman pula berkata, pencapaian membanggakan itu merupakan refleksi keupayaan operasi PTP dalam memberikan perkhidmatan dan usaha kolaborasi yang cemerlang terhadap pihak pelanggan di hab transshipment terkemuka ini, termasuk rangkaian Gemini Cooperation yang baru dilancarkan Maersk dan Hapag-Lloyd.

Katanya, PTP merupakan hab utama Asia dalam Gemini Cooperation, memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan kerjasama global ini.

“Di PTP, kami komited untuk mengekalkan produktiviti yang tinggi secara konsisten, meskipun jumlah dagangan meningkat dan permintaan semakin sengit, seperti daripada rangkaian Gemini Cooperation. 

“Kestabilan ini menambah nilai yang signifikan untuk pelanggan kami dan memastikan kebolehpercayaan jadual kekal menjadi teras komitmen perkhidmatan kami,” katanya.

Tambahnya, perjalanan pertumbuhan mampan PTP ditunjukkan melalui pelaburan fokusnya dalam peningkatan aset dan penambahbaikan infrastruktur. 

“Inisiatif ini sejajar dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan dan strategi digitalisasi kami. 

“Usaha sedemikian telah membolehkan PTP mengharungi cabaran global dengan berkesan sambil memacu peningkatan dan pengembangan berterusan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×