Pelabur asing kekal komited teruskan operasi di Malaysia

Pelabur asing kekal komited teruskan operasi di Malaysia

DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat pelabur asing yang telah melabur di Malaysia kekal komited untuk meneruskan operasi masing-masing, tanpa sebarang petunjuk akan berundur, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu merupakan petanda positif terhadap keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem pelaburan negara.

“Setakat ini, tiada pelabur sedia ada yang menyatakan hasrat untuk keluar dari Malaysia. Mereka kekal dengan komitmen pelaburan yang telah dibuat dan tiada pembatalan diumumkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sosialisasi Serantau Pelan Strategik AEC Wawasan Komuniti ASEAN 2045 di sini. 

Bagaimanapun, Tengku zafrul berkata, pelabur baharu dilihat lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam membuat keputusan pelaburan. 

“Ini terutamanya akibat ketidaktentuan geopolitik semasa yang semakin kompleks.

“Dalam sesi libat urus bersama pelabur, kita dapati pelbagai faktor sedang dipertimbangkan oleh mereka sebelum membuat keputusan melabur, khususnya membabitkan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China,” katanya.

Menurut beliau, meramalkan aliran pelaburan masa hadapan bukan perkara mudah dalam persekitaran global yang semakin dinamik.

Malaysia merekodkan kelulusan pelaburan berjumlah RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025, meningkat 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing (FI) menyumbang sebanyak RM60.4 bilion atau 67.3 peratus, manakala pelaburan domestik (DI) berjumlah RM29.4 bilion atau 32.7 peratus.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya agak terkejut dengan angka pelaburan yang dicatatkan pada suku pertama, namun menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang amat positif.

“Biasanya, prestasi pelaburan pada suku pertama agak perlahan kerana kebanyakan keputusan pelaburan dibuat pada penghujung tahun. Tetapi angka kali ini amat memberangsangkan.

“Hampir 70 peratus daripada jumlah pelaburan adalah pelaburan langsung asing (FDI), manakala sektor perkhidmatan, khususnya ekonomi digital yang muncul sebagai penyumbang utama,” jelasnya.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini kekal seperti yang dijangkakan setakat ini.

“Kita sentiasa melihat prestasi pelaburan bergerak seiring dengan pertumbuhan KDNK negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengulas mengenai kesan perkembangan geopolitik global, termasuk kenyataan terbaharu oleh Presiden AS, Donald Trump bahawa rundingan dengan China telah pun selesai.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita melihat situasi ini secara positif kerana rundingan telah berpindah dari Geneva ke London dan sedang berjalan mengikut landasan yang betul. 

“Kita berharap ini akan merangsang ekonomi global. Sebagai rakan dagang kepada kedua-dua negara, Malaysia berpotensi mendapat manfaat sekiranya mereka meningkatkan kerjasama,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN