KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian penapisan pepejal-cecair, Pan Merchant Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran Ace Bursa Securities Malaysia pada 23.5 sen, diskaun hampir 15 peratus berbanding harga tawaran permulaannya (IPO), 27 sen sesaham.
Saham itu dibuka rendah 22 sen dengan 164,600 saham didagangkan.
Pengarah Urusan Kumpulan Pan Merchant, Wong Voon Ten berkata, harga pembukaan saham syarikat itu pada hari pertama dagangan dianggap memberangsangkan memandangkan keadaan pasaran semasa yang tidak menentu.
Beliau berkata, keyakinan terhadap potensi jangka panjang Pan Merchant dijangka mendorong peningkatan profil dan prestasi kewangan syarikat pada masa hadapan.
“Kami percaya pasaran akan mengenali potensi Pan Merchant dan ini akan mengukuhkan lagi profil serta prestasi kewangan kami,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Ace Bursa Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Wong Nyeon Thiat berkata, harga pembukaan mana-mana IPO biasanya dipengaruhi oleh faktor luar seperti peperangan, dasar kerajaan dan tarif global.
“Walaupun harga hari ini mencerminkan ketidaktentuan global, kami percaya pasaran akan nampak potensi sebenar kami. Fokus kami adalah pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, selain sektor makanan dan air, syarikat juga menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui dengan membekalkan penapis untuk minyak masak terpakai yang diproses menjadi bahan api.
Katanya, sektor itu berkembang pesat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dan syarikat kini sedang berbincang untuk terlibat secara aktif dalam pasaran tersebut.
“Syarikat juga sedang teroka sektor perlombongan dan air. Dalam dua suku akan datang, kami jangka dapat beberapa projek baharu, termasuk di Kazakhstan, Australia dan Indonesia.
“Kami sudah pun mencapai beberapa kejayaan awal dalam sektor perlombongan, walaupun projek sedia ada masih berskala kecil atau dalam peringkat percubaan. Sebagai contoh, kami telah membekalkan penapis untuk perlombongan emas di Australia dan turut terlibat dalam industri tanah liat serta nadir bumi.
“Kami merancang untuk membekalkan mesin berskala lebih besar bagi operasi yang lebih luas. Secara keseluruhan, sektor perlombongan dan air mewakili hampir 50 peratus pasaran global bagi jenis penapis yang kami hasilkan, sekitar 20 peratus untuk perlombongan dan 30 peratus untuk air,” jelasnya.-UTUSAN










