PETALING JAYA: Penyedia pendidikan dwibahasa antarabangsa, MapleBear, merancang menambah 40 cawangan baharu di seluruh Malaysia menjelang 2030 bagi menampung permintaan pendidikan global yang semakin meningkat.
Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian strategi syarikat mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara, selaras dengan pelan pertumbuhan serantau bagi menyediakan pendidikan berkualiti tinggi beriktiraf global.
Ketua Pegawai Eksekutif MapleBear Asiawide, Patricia Koh berkata, Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan utama yang didorong oleh ekonomi dinamik dan minat kukuh keluarga terhadap pendidikan bertaraf dunia.
“Dengan operasi di 40 negara dan kehadiran kukuh di Asia Tenggara termasuk 58 sekolah di Singapura, MapleBear memiliki kedudukan unik untuk menawarkan piawaian akademik cemerlang,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, langkah pengembangan itu didorong peningkatan bilangan profesional ekspatriat di Malaysia yang mencecah 120,183 orang sehingga Oktober 2024, terutama dalam sektor teknologi maklumat dan perkhidmatan profesional.
Daripada jumlah itu, seramai 27,460 merupakan warganegara China yang menyumbang kepada peningkatan permintaan pendidikan bertaraf dunia untuk anak-anak mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia turut menerima pelaburan asing melebihi RM170 bilion pada 2024 serta memperuntukkan rekod RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan di bawah Belanjawan 2025.
“Selaras perkembangan Malaysia ke arah wawasan global, semakin ramai ibu bapa mengutamakan pendidikan dwibahasa yang menggabungkan modul antarabangsa dengan nilai tempatan.
“Pelan pengembangan bercita-cita tinggi itu merangkumi program daripada prasekolah hingga peringkat K-12 penuh, mencerminkan komitmen jenama memudahkan akses keluarga Malaysia kepada pendidikan dwibahasa berkualiti,” katanya.
Menurut Patricia lagi, syarikat itu komited melahirkan generasi masa depan berdaya saing melalui pembelajaran dwibahasa mendalam sambil membekalkan kompetensi global untuk berkembang di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“MapleBear beroperasi melalui kerjasama strategik dan peluang francais dengan kolaborasi bersama pihak berkepentingan tempatan bagi merangka penyelesaian pendidikan selari keperluan dinamik Malaysia,” katanya. – UTUSAN










