KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran perdagangan antarabangsa.
Pengarah Eksekutif Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Andrew Chan Yik Hong berkata, permintaan terhadap semikonduktor dijangka terus meningkat walaupun terdapat kelembapan sementara dalam kemasukan pelaburan ke negara ini.
Beliau turut mengakui wujud sedikit penurunan dalam pertanyaan pelaburan baru-baru ini, namun menyifatkannya sebagai reaksi biasa terhadap suasana politik dan ekonomi global yang sedang berubah, khususnya ketika menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dahulu.
“Permintaan untuk semikonduktor terus berkembang. McKinsey sebelum ini menjangkakan industri ini akan berganda menjelang 2030. Kita masih memerlukan cip dalam hampir semua peranti harian.
“Kita sudah sembilan bulan melihat pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Namun, prospek jangka panjang masih positif,” katanya dalam sesi bual bicara From Production Hub to Innovation Powerhouse: Strengthening Malaysia’s E&E Industry di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.
Mengulas sama ada strategi Semikonduktor Negara (NSS) perlu disemak semula susulan perkembangan global, Andrew berkata, pendekatan Malaysia kekal relevan kerana asas industri yang kukuh dan sokongan dasar kerajaan.
Malah, Malaysia kini dilihat sebagai rujukan dalam diplomasi semikonduktor oleh banyak negara luar.
“Semikonduktor kini dianggap sebagai aset strategik. Tahun lalu sahaja, kita menerima pelawat dari lebih 20 negara, termasuk wakil kerajaan dan kedutaan. Mereka semua mahu belajar bagaimana Malaysia membangunkan ekosistem semikonduktor yang mampan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, delegasi dari Korea Selatan baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mencontohi pendekatan Malaysia dalam membina daya saing industri teknologi.
Menurutnya, AS kini menerima tumpuan pelaburan yang besar susulan pengumuman pelaburan tambahan oleh syarikat gergasi seperti Micron, namun menegaskan kedudukan Malaysia kekal penting dalam landskap semikonduktor serantau.
“Diplomasi semikonduktor membolehkan Malaysia menggunakan kuasa lunak (soft power) kita. Ia bukan sahaja membuka pintu kerjasama teknologi, tetapi juga memperkukuh hubungan luar negara dalam pelbagai bidang lain.
“AS mungkin menarik pelaburan berskala besar, tetapi kita tetap menjadi destinasi utama bagi syarikat yang mahu mempelbagaikan operasi dan melibatkan diri dalam ekosistem Asia Tenggara,” katanya.-UTUSAN










