PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran penerbangan terus sulung Hainan Airlines (HU) antara Kuala Lumpur dan Haikou pada 30 Mei lalu.
Perkhidmatan empat kali seminggu ini adalah sebahagian daripada usaha strategik Malaysia Airports untuk memperkukuh hubungan dengan China, satu daripada pasaran utama bagi pertumbuhan rangkaian.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pengenalan perkhidmatan terus Kuala Lumpur–Haikou oleh Hainan Airlines mencerminkan fokus kami untuk mengukuhkan sambungan rangkaian KLIA, khususnya di China, antara pasaran sasaran utama syarikat.
“Pengembangan laluan ini mengukuhkan peranan kami sebagai pengendali lapangan terbang yang memacu pertumbuhan melalui peningkatan kebolehcapaian, yang menyokong perdagangan, pelancongan dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Penerbangan terus baharu antara Kuala Lumpur dan Haikou ini menyediakan akses yang pantas dan mudah bagi pengembara Malaysia ke Hainan.
Pada masa sama, laluan ini membuka sambungan yang lancar untuk penumpang yang transit di Haikou ke lebih 50 bandar di seluruh China, serta destinasi antarabangsa seperti London, Bangkok, Tokyo dan Hong Kong.
Haikou kini semakin berperanan sebagai pintu masuk strategik bagi penerbangan dari China ke Asia Barat, dengan sambungan mudah ke destinasi seperti Dubai dan Jeddah, menjadikannya titik transit yang ideal bagi pengembara ke rantau tersebut.-UTUSAN










