PETALING JAYA: Ketegangan geopolitik antara Iran dan Israel baru-baru ini mencetuskan lonjakan permintaan terhadap emas sebagai aset selamat, sekali gus menyumbang kepada kenaikan mendadak harga logam berharga itu di pasaran global termasuk di Malaysia.
Sehingga berita ditulis, harga emas berada pada paras RM447.95 segram
Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Louis Ng berkata, perkembangan terkini mengenai gencatan senjata sementara antara kedua-dua negara mula menstabilkan keadaan dan memberi isyarat kemungkinan penurunan harga emas dalam jangka masa pendek.
“Pasaran kini lebih berhati-hati dan reaksi harga emas bergantung sepenuhnya kepada kesinambungan damai di Asia Barat.
“Gencatan senjata ini dilihat memberi tekanan ke bawah kepada harga emas buat masa ini.
“Namun, sekiranya rundingan damai gagal dan konflik kembali meruncing, harga dijangka akan melonjak semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, peranan emas sebagai pelindung nilai semasa ketidaktentuan politik dan ekonomi tetap kukuh, tetapi prestasinya dalam jangka sederhana hingga panjang juga dipengaruhi oleh beberapa faktor lain seperti dasar monetari, inflasi global serta tindakan bank pusat terhadap rizab emas mereka.
“Pergerakan kadar faedah khususnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) serta arah aliran inflasi akan terus menjadi faktor utama dalam menentukan nilai emas pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Louis berkata, dalam pasaran tempatan, harga emas telah menunjukkan turun naik ketara sejak April lalu, selaras dengan sentimen global dan ketidaktentuan geopolitik.
“Para pelabur dinasihatkan untuk terus memantau perkembangan semasa dan mendapatkan nasihat pelaburan yang bersesuaian,” katanya.
Louis turut menekankan bahawa walaupun harga mungkin menurun dalam masa terdekat jika ketegangan reda, namun pelabur jangka panjang masih boleh mempertimbangkan emas sebagai instrumen lindung nilai terhadap risiko sistemik global.-UTUSAN










