KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka satu skim insurans asas nasional sebagai usaha menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan, menurut Menteri Kewangan II.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan melibatkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu inflasi perubatan.
“Kita sedang meneliti pelbagai opsyen, termasuk kemungkinan penggunaan caruman daripada Akaun 2 KWSP bagi menyokong skim seperti Malaysia Social Insurance Trust (MIST).
“Namun, perbincangan masih berlangsung dan tiada keputusan muktamad dibuat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 SME Bank di sini.
Beliau menegaskan bahawa semua cadangan termasuk sumbangan daripada sektor-sektor lain seperti syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut dipertimbangkan dalam perbincangan.
Menurut Amir Hamzah, pendekatan untuk memperkenalkan insurans asas kebangsaan masih dalam kajian dan kerajaan menyeru agar pihak awam tidak membuat spekulasi sehingga pelan itu dimuktamadkan.
“Kita beri ruang kepada pasukan teknikal yang melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM), pengendali insurans dan takaful (ITO) dan agensi berkaitan untuk berbincang dan bentangkan mekanisme terbaik kepada rakyat,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah turut mengesahkan bahawa penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan tahun ini, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesiapsiagaan sistem penyasaran yang teliti.
“Seperti pendekatan terhadap diesel sebelum ini, kita mahu pastikan mekanisme pelaksanaan subsidi ini tepat dan tidak memberi impak besar kepada majoriti rakyat,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kabinet akan membuat keputusan akhir apabila pelan tersebut sudah sedia untuk dilaksanakan.
Mengulas situasi geopolitik di Asia Barat, Amir Hamzah berkata ketegangan antara Iran dan Israel sebelum ini telah mendorong kenaikan mendadak harga minyak global, namun pasaran menunjukkan tanda pemulihan selepas rundingan damai dimulakan.
“Malaysia sentiasa menyokong usaha untuk mengekalkan keamanan global kerana kestabilan amat penting, bukan sahaja dari segi kemanusiaan, tetapi juga bagi ekonomi,” katanya.-UTUSAN










