Isu syarikat China guna cip AI Nvidia dalam siasatan - MITI

Isu syarikat China guna cip AI Nvidia dalam siasatan – MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan siasatan berhubung dakwaan penggunaan pelayan dan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia bagi tujuan latihan model bahasa berskala besar (LLM) oleh syarikat dari China yang beroperasi di Malaysia sedang dijalankan.

MITI dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi mengesahkan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan sedia ada.

“Kementerian mengambil maklum laporan media dan sedang menyemak fakta berhubung dakwaan tersebut,” katanya.

Menurut MITI, cip dan pelayan AI Nvidia tidak dikategorikan sebagai barangan kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010, namun Malaysia bersedia membantu mana-mana kerajaan yang memerlukan kerjasama untuk memantau perdagangan barangan sensitif.

“Segala operasi perniagaan termasuk pusat data di Malaysia bebas membuat keputusan komersial selagi mematuhi perundangan dan peraturan tempatan.

“Pembangunan dan pengawalseliaan industri pusat data negara turut diuruskan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital menerusi Pasukan Petugas Pusat Data.

“Malaysia berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus baik dan menolak sebarang usaha individu atau syarikat yang cuba memintas kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram,” katanya.

MITI menegaskan komitmen untuk memudahkan urusan perdagangan sah serta memastikan semua pelaburan dan aktiviti teknologi kekal sejajar dengan amalan terbaik global dan perjanjian pelbagai hala.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana entiti termasuk dalam industri semikonduktor dan AI yang melanggar peraturan perdagangan domestik mahupun antarabangsa.

“Walaupun Malaysia berkedudukan neutral terhadap sekatan unilateral, syarikat yang beroperasi di sini dinasihatkan agar mematuhi kawalan eksport unilateral negara lain yang berkaitan dengan urus niaga antarabangsa masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN