INSKEN perkasa 275 usahawan melalui

INSKEN perkasa 275 usahawan melalui Seminar Usahawan Madani

INSKEN memperkasa 275 usahawan melalui penganjuran Seminar Usahawan Madani: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) yang diadakan di MARDI Corp Academy, Serdang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) memperkasa 275 usahawan melalui penganjuran Seminar Usahawan Madani: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) yang diadakan di MARDI Corp Academy, Serdang.

Melalui seminar berkenaan, para usahawan diberi peluang mendalami kaedah pembangunan produk dan perkhidmatan yang berkesan, sekali gus mempersiapkan mereka menembusi pasaran baharu serta meningkatkan prestasi jualan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, seminar tersebut bukan sekadar bersifat teori semata-mata, malah menyediakan platform praktikal untuk peserta.

“Seramai 30 usahawan terpilih menjalani sesi penilaian produk dan perkhidmatan secara langsung bersama jurulatih serta pemain industri bagi mendapatkan maklum balas terus terhadap potensi dan penambahbaikan produk masing-masing.

“Dalam masa yang sama, INSKEN mengalu-alukan penglibatan lebih banyak rakan kerjasama daripada sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

“Ini bagi terus menjayakan program pembangunan keusahawanan seperti SUM:PPS demi manfaat yang lebih meluas kepada komuniti usahawan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Pendedahan dalam seminar itu disampaikan menerusi lima modul utama yang dirangka khusus bagi membina asas kukuh, merangkumi analisis pasaran, prototaip, validasi, pengeluaran termasuk penyumberan, pengiraan kos dan penetapan harga serta pengkomersialan.

Pendekatan menyeluruh tersebut membolehkan usahawan memahami keseluruhan rantaian proses dalam penghasilan produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja berkualiti, malah berdaya saing serta mampan di pasaran.

Sementara itu, seminar sehari itu merupakan hasil kerjasama strategik bersama HRD Corp, selain beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Setakat ini, penganjuran SUM:PPS telah menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dari seluruh negara menerusi tujuh siri seminar yang telah dilaksanakan.

Bagi 2025, INSKEN menyasarkan penganjuran seminar tersebut di 15 lokasi strategik di seluruh negara, sekali gus memperluas akses bimbingan dan pendedahan kepada lebih ramai usahawan berpotensi untuk berkembang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN