FBM KLCI disemak semula kepada 1,655 mata pada hujung 2025

FBM KLCI disemak semula kepada 1,655 mata pada hujung 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran unjuran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disemak turun kepada 1,655 mata pada hujung 2025 daripada 1,690 mata sebelum ini berikutan selepas syarikat-syarikat Malaysia mencatat keputusan yang mengecewakan pada suku pertama 2025.

Ini dengan lebih banyak yang tidak mencapai jangkaan, terutama dalam sektor-sektor yang terdedah kepada pasaran luar seperti teknologi, minyak dan gas serta automotif.

Kenanga Investment Bank dalam nota laporan keputusan terkininya menganggarkan pendapatan FBM KLCI bagi suku pertama menurun sebanyak dua peratus secara tahun ke tahun dan hanya meningkat satu peratus secara suku ke suku.

“Ini menyebabkan Kenanga juga mengurangkan ramalan pertumbuhan pendapatannya untuk tahun ini kepada 3.5 peratus, daripada 6.8 peratus sebelumnya.

“Selain itu, jumlah syarikat yang tidak mencapai jangkaan lebih banyak berbanding yang melebihi jangkaan, merangkumi kedua-dua saham FBM KLCI dan pasaran lebih luas.

“Kira-kira satu perempat syarikat dalam suku pertama tidak mencapai jangkaan, berbanding hanya 11 peratus pada suku sebelumnya bagi saham-saham utama FBM KLCI,” katanya. 

Firma itu berkata, walaupun kelemahan ini, penurunan pendapatan tertumpu pada beberapa nama utama sahaja dan tidak berlaku secara meluas.

“Sektor-sektor yang lebih terdedah kepada pasaran luar mencatatkan lebih banyak ketidakpastian. 

“Sebagai contoh, Sime Darby Bhd. dan Petronas Chemicals Group Bhd. (PetChem) sahaja menyumbang dua mata peratusan kepada pengurangan ramalan pertumbuhan pendapatan FBM KLCI oleh Kenanga tahun ini.

“Sime Darby menghadapi kesukaran suku ini berkaitan dengan perniagaan luar negaranya, manakala kelemahan PetChem berterusan disebabkan harga petrokimia yang lembap dan gangguan operasi loji. 

“Dari segi sektor, pembinaan adalah sektor yang menonjol bagi kami, diikuti oleh kebanyakan sektor berasaskan domestik yang mencatatkan prestasi baik iaitu sektor hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan perbankan,” katanya.

Dalam pada itu, firma itu menurunkan kedudukan ‘overweight’ pada sektor perladangan dan automotif kepada ‘neutral’ dengan alasan pendapatan yang sederhana dan cabaran luaran.

Ia juga membuat beberapa perubahan dalam pilihan sahamnya dengan menambah Time Dotcom Bhd., IJM Corp Bhd. dan Duopharma Biotech Bhd. serta mengeluarkan PetChem, Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan IOI Corp Bhd.

KPJ Healthcare Bhd. dan Sime Darby diturunkan kepada ‘underperform’ selepas keputusan yang mengecewakan, manakala Sunway Bhd. kekal sebagai pilihan kontra, walaupun harga sasaran telah dinaikkan dan Affin Bank Bhd. juga dimasukkan dalam senarai kontra Kenanga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN