Asia Pasifik perlukan AS$90 trilion untuk tenaga menjelang 2050

Asia Pasifik perlukan AS$90 trilion untuk tenaga menjelang 2050

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Asia Pasifik memerlukan pelaburan tenaga berjumlah AS$90 trilion (RM382.1 trilion) sehingga 2050 bagi memenuhi keperluan ekonomi yang terus berkembang, sekali gus mencapai aspirasi sifar bersih. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, rantau ini kini berada di persimpangan kritikal berikutan krisis pelbagai dimensi melibatkan ketegangan geopolitik yang memuncak, pasaran tenaga yang tidak menentu serta ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat.

“Bagi memenuhi aspirasi pertumbuhan Asia, sambil mencapai sifar bersih, kira-kira AS$90 trilion hanya untuk rantau ini diperlukan bagi pelaburan tenaga sehingga 2050,” katanya ketika berucap pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Katanya, tanpa pelaburan segera dan diselaraskan dalam sistem tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, keselamatan tenaga Asia serta sasaran iklimnya berdepan risiko.

“Asia Pasifik yang menempatkan 60 peratus populasi dunia serta tiga daripada lima ekonomi terbesar, akan menyumbang separuh daripada permintaan tenaga global sehingga 2050.

“Bagaimanapun, jurang ketaksamaan masih ketara apabila beberapa ekonomi di rantau ini merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita melebihi AS$90,000 (RM382,229.88). 

“Selain itu, sebahagian lagi berdepan kesukaran di bawah AS$1,200 (RM5096.40) dengan 150 juta penduduk langsung tidak mempunyai akses kepada elektrik.

“Walaupun pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui semakin meningkat, bahan api fosil masih menjadi keutamaan dan merangkumi lebih 80 peratus campuran tenaga di rantau ini,” katanya.

Selain itu, pertumbuhan populasi serta perindustrian pesat berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan melonjakkan permintaan tenaga sehingga membentuk separuh penggunaan global menjelang 2050, dengan penggunaan elektrik bagi pusat data sahaja dijangka berganda dalam tempoh enam tahun akan datang.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik berkata, campuran tenaga global perlu dipelbagaikan bagi memperkukuh daya tahan tenaga merentasi pelbagai ekonomi dan sektor.

Beliau berkata, portfolio bahan api rendah pelepasan karbon serta teknologi penurunan pelepasan yang lebih seimbang amat penting bagi memenuhi keperluan tenaga masa hadapan.

“Ini termasuk tong minyak rendah pelepasan, bahan api lestari, gas asli cecair (LNG) dari kawasan yang semakin mencabar, hidrogen sifar karbon, tenaga solar dan angin serta teknologi penangkapan karbon. Semua ini diperlukan.

“Selain itu, pelaburan juga perlu dipertingkatkan kerana tenaga kekal menjadi nadi pertumbuhan ekonomi. Pelaburan penting untuk memastikan tenaga terus tersedia dan mampu diperoleh.

“Kerajaan, institusi kewangan dan industri perlu berganding bahu merangka dasar serta kerangka kerja yang dapat membuka akses pembiayaan, khususnya bagi projek di negara sedang pesat membangun,” katanya.

Edisi kedua Energy Asia berlangsung dari semalam hingga Rabu ini bertujuan memacu penyelesaian praktikal dan inklusif bagi merealisasikan aspirasi sifar bersih di rantau ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN