KUALA LUMPUR: Syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco menekankan kepentingan minyak dan gas semasa berlakunya konflik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amin Nasser berkata, sejarah menunjukkan bahawa apabila berlaku konflik, kepentingan minyak dan gas tidak boleh dipandang remeh.
“Kita sedang menyaksikannya secara langsung, dengan ancaman terhadap keselamatan tenaga terus menjadi kebimbangan global,” katanya dalam ketika berucap melalui video pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Kenyataan beliau dibuat susulan lonjakan harga minyak selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Jumaat lalu, dengan alasan untuk menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.
Pertempuran dilaporkan semakin memuncak sepanjang hujung minggu.
Nasser turut berkata, pengalaman telah menunjukkan sumber tenaga baharu tidak menggantikan yang lama, sebaliknya menambah kepada campuran sedia ada.
Beliau menjelaskan bahawa peralihan kepada pelepasan sifar bersih boleh menelan kos sehingga AS$200 trilion (RM884.5 trillion) dan sumber tenaga boleh diperbaharui masih belum mampu memenuhi permintaan semasa.
“Justeru, keselamatan tenaga dan kemampuan kos akhirnya telah menyertai kelestarian sebagai matlamat utama dalam peralihan tenaga,” katanya.
Aramco merupakan tulang belakang ekonomi Arab Saudi, yang menjana sebahagian besar pendapatan negara melalui eksport minyak dan membiayai usaha kepelbagaian ekonomi yang dikenali sebagai Wawasan 2030.-UTUSAN










