Sijil halal lonjak jualan spaghetti Makanhubb

Sijil halal lonjak jualan spaghetti Makanhubb

MAKANHUBB menawarkan pelbagai spagetti sedia dimakan dalam paket yang mudah dibawa ke mana-mana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perniagaan spaghetti sedia dimakan jenama Makanhubb melihat lonjakan kepercayaan pelanggan dan peningkatan jualan ketara selepas memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Pengurus Duoreqa 9 Enterprise, Siti Aishah Mohamad Hanif, produk mereka mula diperkenalkan pada tahun 2021 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terus berkembang sejak itu.

Katanya, proses permohonan sijil halal dilakukan sepenuhnya secara kendiri tanpa melantik perunding atau ejen luar.

“Suami saya yang urus sendiri permohonan dan berhubung terus dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kosnya pula tidaklah mahal, hanya beberapa ratus ringgit sahaja jika diuruskan sendiri. 

“Pengalaman suami dalam menguruskan audit dan pensijilan ISO di tempat kerja lama banyak membantu proses permohonan tersebut.

“Bagaimanapun, masa yang diambil bagi proses sijil halal adalah sekitar enam bulan memandangkan kesibukan suami saya yang mengurus operasi perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, Makanhubb kini memegang sijil halal pertama yang akan tamat pada hujung Disember 2025.

Ujarnya, sijil halal memberi kesan langsung terhadap kepercayaan pelanggan terutama bagi perniagaan dalam talian seperti di TikTok dan Shopee.

“Bagi kami, halal itu wajib. Pensijilan halal bukan sahaja berkaitan status makanan, tetapi juga menitikberatkan aspek kebersihan premis dan operasi.

“Apabila pelanggan nampak produk ada sijil halal, mereka lebih yakin dan ini melonjakkan jualan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah berkata, pensijilan halal juga penting untuk melebarkan perniagaan ke saluran baharu seperti pasar raya, stesen minyak dan pasaran eksport.

“Kami kini sedang menempatkan produk di beberapa cawangan Petronas sekitar Kuala Lumpur dan sijil halal adalah syarat utama mereka kerana produk halal lebih cepat laku,” jelasnya. 

Antara cabaran utama yang dihadapi dalam mendapatkan pensijilan itu termasuk dokumentasi yang rumit serta keperluan melakukan beberapa pengubahsuaian premis.

Namun Siti Aishah berkata, semua usaha itu berbaloi memandangkan impak positif yang dibawa oleh sijil halal terhadap kredibiliti perniagaan.

Ujarnya, syarikat kini sedang dalam perbincangan untuk mengeksport produk ke Singapura dan China menjelang tahun 2026.

“Objektif utama kami mendapatkan sijil halal adalah untuk berkembang ke pasaran antarabangsa.

“Kami nampak potensi besar kerana sijil halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia. Ini menggambarkan bahawa industri halal global sedang berkembang dan kami mahu ambil peluang itu.

“Sijil halal juga bukan sekadar logo tetapi simbol kepercayaan dan peluang pertumbuhan bagi jangka masa panjang.

“Ia bukan sahaja menarik minat pelanggan, tetapi juga membuka pintu kepada lebih banyak bantuan kerajaan dan kerjasama perniagaan,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN