PETALING JAYA: Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan peserta mencatatkan purata peningkatan pendapatan perniagaan sebanyak 36 peratus dalam tempoh setahun.
Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) berkata, hasil awal program itu memberi impak yang bermakna dengan memperkasakan usahawan mikro asnaf melalui melalui pembiayaan kewangan inklusif yang bertujuan membina kebebasan ekonomi jangka panjang.
Katanya, ini membuktikan keberkesanan program ini dalam membantu komuniti terpinggir membina asas kewangan yang kukuh.
“Penemuan ini didokumentasikan dalam Laporan Keberkesanan Program AZAM, satu kajian bebas oleh Satu Creative, sebuah organisasi yang menyokong usahawan baharu dan perniagaan berasaskan impak.
“Laporan itu menilai kumpulan pertama yang melibatkan 36 usahawan mikro asnaf dan turut menekankan peranan AZAM yang semakin penting dalam memperkukuh daya tahan kewangan serta mempromosi kelangsungan hidup mampan dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan di Malaysia.
“Antara penemuan utama daripada kajian ini adalah lebih 90 peratus peserta melaporkan perubahan positif dalam kehidupan mereka sejak menyertai program ini, termasuk peningkatan dalam aspek penjagaan kesihatan, pendidikan dan masa kualiti bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Jelas bank, peserta berjaya meningkatkan jumlah pendapatan perniagaan mereka, dengan purata peningkatan dari RM2,151 kepada RM2,924.
“AZAM merupakan inisiatif pembiayaan sosial Islam pertama di Malaysia yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam agihan zakat secara lebih mampan dan produktif.
“Dengan menggunakan model dana pusingan yang mampan dan menawarkan pembiayaan mikro tanpa faedah berasaskan konsep Qard, AZAM memperkasakan usahawan asnaf untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, kejayaan AZAM bukan sekadar dilihat pada angka, tetapi melalui impak sebenar terhadap keluarga dan komuniti.
“la adalah tentang memperkukuh sumber pendapatan, memulihkan maruah dan meletakkan asas kepada ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
Beliau berkata, AIS beriltizam untuk meluaskan pelaksanaan program AZAM ke seluruh negara, dengan perbincangan yang sedang dijalankan bersama beberapa Majlis Agama Negeri dan pihak berkuasa zakat susulan kejayaan inisiatif ini di Selangor.
“Dalam masa yang sama, AIS turut merancang untuk memperkukuh penglibatan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan kaedah agihan zakat berasaskan wakalah.
“Individu dan institusi yang menyalurkan zakat melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh memilih kaedah zakat wakalah, di mana dana akan disalurkan terus bagi menyokong dana pusingan kewangan AZAM.
“Pendekatan itu akan memperluaskan dana pusingan bagi membolehkan lebih ramai usahawan asnaf mendapat akses kepada pembiayaan,” katanya. – UTUSAN