Gagal tanam semula sawit, pekebun kecil sudah tua

Gagal tanam semula sawit, pekebun kecil sudah tua

ADZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri sawit negara perlukan penglibatan lebih ramai anak muda bagi memastikan kelangsungan, meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan menggalakkan semula usaha penanaman semula pokok sawit.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, kebanyakan pekebun kecil kini berusia antara 50 hingga 60 tahun, sekali gus menuntut pembaharuan dalam sektor tersebut supaya menarik minat generasi baharu.

“Pekebun kecil kita semakin berumur. Jika mahu tarik anak muda, kita perlu modenkan industri. Anak muda tak akan minat kalau masih guna kaedah lama. Mereka mahukan peralatan moden, teknologi pintar, dron, sensor tanah dan mesin penuaian lebih efisien,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia.

Semalam akhbar ini mela­porkan pekebun dan peladang di negara ini perlu dilibatkan dalam aktiviti nilai tambah bagi membantu mereka mencipta peluang dan keuntungan sekali gus menggalakkan semula pokok sawit.

Penyelidik di Institut Pertanian Tropika dan Keselamatan Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, kegagalan penanaman semula pokok sawit berpunca daripada kurangnya minat daripada pekebun dan peladang.

Adzmi berkata, kerajaan perlu memperkukuh bantuan serta menyediakan akses teknologi lebih meluas melalui pusat pengumpulan komuniti dan peralatan pemprosesan skala kecil yang dekat dengan kawasan pekebun.

“Penggunaan teknologi dan peluang dalam aktiviti nilai tambah dapat menjadikan industri sawit lebih menarik kepada generasi muda yang mahukan pekerjaan berdaya saing dan berautomasi tinggi.

“Kalau wujud ekosistem moden dengan peralatan sesuai dan peluang menghasilkan produk hiliran sendiri, itu boleh buka banyak peluang keusahawanan, anak muda bukan sahaja jadi pekebun, tetapi boleh jadi usahawan,” katanya.

Adzmi turut cadangkan kerajaan sediakan insentif khusus kepada belia seperti dana permulaan, pembiayaan mesra belia dan latihan pertanian moden bagi merancakkan penyertaan golongan tersebut.

Katanya, penglibatan pekebun kecil dalam aktiviti nilai tambah juga penting untuk meningkatkan pendapatan mereka, terutama ketika berdepan kos operasi tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN