PETALING JAYA: Kemungkinan untuk MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menerima pelawaan menyertai Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih besar berbanding MCA.
Sumber berkata, perbincangan antara MIC dan PN dilihat lebih positif berbanding satu lagi parti komponen BN itu.
“Maklum balas MIC lebih positif untuk sertai PN. namun kita tak melihat MCA akan ikut serta,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sementara itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelawaan kepada MIC untuk menyertai PN dijangka akan dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat pimpinan PN akan datang.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan tempoh bakal berlangsungnya mesyuarat terbabit, namun tidak menolak kemungkinan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Saya difahamkan perkara ini (MIC sertai PN) akan diputuskan dalam mesyuarat PN akan datang.
“Secara asasnya Pas mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bersama dalam PN, dengan syarat mereka menerima dasar dan perjuangan PN.
“Cuma buat masa kini tumpuan dan perhatian seluruh pimpinan PN adalah di (PRN) Sabah, fokus untuk kita memenangi kerusi yang dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau pula menegaskan, sama ada MIC mahu pun MCA, kedua-dua parti itu akan diterima baik sekiranya memutuskan untuk menyertai PN.
“Kami di Gerakan sentiasa terbuka untuk terima, sama ada MCA mahupun MIC, tiada masalah.
“Ada yang tanya Gerakan tak takut kah jika timbul isu berebut kerusi nanti? Saya kata itu bukan masalah pun, yang kita depani sekarang adalah terlalu banyak kerusi untuk bertanding, hingga Gerakan pun tak mampu untuk bertanding semua kerusi.
“Malah bagi kawasan bukan Melayu, kita ada sayap Bersekutu Bersatu, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), jadi kita bekerja bersama, kita juga tidak melihat sebarang masalah jika MIC mahu pun MCA memutuskan menyertai PN.
“Mereka pasti akan tambah kekuatan PN, MIC dan MCA juga bukan kali pertama bekerjasama terutama dengan Gerakan, kita saling kenal dan rapat sejak dalam BN dahulu,” katanya.
Sebelum ini Mesyuarat agung tahunan MIC di beberapa negeri baru-baru ini meluluskan usul agar parti itu keluar BN. Negeri tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Hujung bulan lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa bahawa MIC memutuskan untuk keluar daripada BN pada bulan ini.
Tajuddin berkata perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Saravanan sebelum ini juga pernah berkata, MIC akan memuktamadkan keputusan berhubung masa depan di dalam BN serta menerima pelawaan menyertai PN pada perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung bulan ini.
Beliau berkata, meskipun terdapat jemputan daripada Pas dan Bersatu, kuasa untuk membuat keputusan bukan terletak pada pimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, segala keputusan bergantung kepada sokongan perwakilan di dalam Perhimpunan Agung MIC.-UTUSAN.










